|
![]() |
|
lagak kanak-kanak dalam pertandingan pakaian beragam pada Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Peringkat Akhir di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
DALAM pakaian mereka yang berwarna-warni, indah dan cantik, kehadiran 100 kanak-kanak dari seluruh tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjadikan Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta Kuala Lumpur, sangat meriah.
Ini apabila buat julung-julung kalinya mereka diraikan dalam Majlis Penganugerahan Pelajar Cemerlang 2009 iaitu selepas setahun mengikuti pendidikan pra-sekolah masing-masing termasuk dari Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya.
Para pelajar dibahagikan kepada lima zon daerah. Setiap zon menghantar 18 peserta bagi menjayakan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Peringkat Akhir yang berlangsung di Dewan Masjid Wilayah Persekutuan, 12 November itu.
Segala-galanya berlangsung begitu ceria apabila kanak-kanak yang ditemani guru dan ibu bapa dapat bertemu rakan masing-masing serta tanpa segan silu mengetengahkan bakat mereka.
Ini apabila mereka menyertai pelbagai pertandingan iaitu nasyid, deklamasi sajak, memperagakan busana Muslim, hafalan dan azan.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Anan C. Mohd. Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ismail Porjo dan Pengurus Bahagian Pembangunan Insan MAIWP Zaiton Abdul Rahman..
Dalam ucapannya, Anan berkata, selepas MAIWP mengambil alih pengurusan Tadika Islam pelbagai penambahbaikan program pembelajaran dilakukan.
Ia bagi memastikan institusi pendidikan pra-sekolah itu dapat memenuhi standard yang diperakui dan melahirkan kanak-kanak Islam yang tidak sahaja dapat mengenal ABC tetapi telah mempunyai asas yang kuat dalam agama.
"Di samping Anugerah Kecemerlangan merupakan program kurikulum manakala satu lagi aktiviti, iaitu Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam seperti yang disertai oleh mereka hari ini adalah program ko-kurikulum.
"Semua ini adalah komitmen MAIWP dalam memartabatkan usaha penjanaan modal insan yang berkualiti khususnya di Wilayah Persekutuan," katanya.
Pada masa yang sama, Anan meminta guru-guru Tadika Islam menjalankan tugas mendidik anak-anak bangsa dengan penuh berhikmah, kesabaran dan kasih sayang.
Kanak-kanak Tadika Islam pada hari itu benar-benar menghiburkan tetamu yang hadir dengan kerenah dan keletah mereka yang mencuit hati.
IKLAN@UTUSAN
|