|
KUALA LUMPUR 19 Nov. — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini tidak boleh lagi menyoal siasat saksi hingga ke malam berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa soal siasat hanya boleh dilakukan pada waktu pejabat iaitu dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Ariff Md Yusof memutuskan bahawa Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 tidak memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan penyiasatan terhadap seseorang saksi sepanjang hari dan malam.
"Frasa ”hari ke hari” dalam seksyen berkenaan bukan bermaksud 24 jam, tetapi waktu bekerja biasa,” kata Mohd Ariff dalam keputusan bersejarah itu yang disampaikan pada pukul 2.50 petang.
Ketika membenarkan semakan semula kehakiman yang dipohon oleh anggota Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah, Mohd Ariff berkata:
“Oleh itu saya bersetuju bahawa dalam kes ini, pemohon telah ditahan secara tidak sah oleh SPRM.”
Tan, 39, menyaman Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan; penolong penguasa SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM kerana mendakwa penahanan dan soal siasat yang dilakukan terhadapnya selama 16 jam sehari oleh SPRM, menyalahi undang-undang dan menyebabkan beliau mengalami kerugian serta kesan buruk. - Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|