|
PERKEMBANGAN pesat kewangan Islam menuntut kepada sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran. Dengan lebih 300 buah institusi kewangan Islam di seluruh dunia melalui pertumbuhan dalam lingkungan 15 hingga 20 peratus setahun, sektor kewangan Islam diramal mencapai nilai aset sebanyak AS$1 trilion menjelang 2010.
Sambutan luar biasa di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain negara Barat meningkatkan permintaan kepada modal insan bagi memenuhi pasaran kewangan Islam.
Ssyarikat perunding cara AT Kearney meramalkan sekurang-kurangnya 30,000 profesional kewangan Islam diperlukan di Asia Barat dalam tempoh 10 tahun nanti. Di Malaysia sahaja, dijangka seramai 8,600 tenaga profesional diperlukan dan seramai 2,000 profesional lagi dalam sektor insurans Islam pada 2012.
Berdasarkan fenomena memberangsangkan ini, institusi-institusi pengajian tinggi terkemuka mula mengorak langkah menawarkan program kewangan Islam di peringkat siswazah dan sarjana.
Di Britain, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh universiti-universiti berprestij termasuk Oxford. Di Amerika, Universiti Harvard telah melancarkan Projek Kewangan Islam "Islamic Finance Project" sebagai sebahagian daripada program pengajian Islam di Harvard Law School.
Di Perancis pula, Universiti Strasbourg menawarkan program di peringkat sarjana. Ini bertepatan dengan potensi besar pasaran kewangan Islam di Perancis dengan bilangan Muslim yang mencecah lebih enam juta. Itali yang terkenal dengan Vatican City juga tidak ketinggalan melaksanakan kewangan Islam.
Kolej Universiti Antarabangsa Turin misalnya, menawarkan program sarjana undang-undang perbandingan, ekonomi dan kewangan dengan memasukkan beberapa subjek khusus berkenaan dengan undangundang dan kewangan Islam.
Sementara di Jepun, dana khas untuk pembangunan kewangan Islam di mana universiti berprestij seperti Universiti Kyoto, Tokyo dan Waseda dipilih sebagai institusi penyelidikan untuk tujuan itu.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan membentangkan kertas kerja di "Seminar Kewangan Islam" anjuran Universiti Kyoto dan menyaksikan kesungguhan institusi itu menjana penyelidikan dan modal insan dalam sektor ini. Program peringkat Ph.D dan sarjana mula ditawarkan dalam bidang ini.
Di Malaysia, institusi pengajian tinggi tempatan telah lama menawarkan program kewangan Islam di peringkat prasiswazah dan sarjana. Penawaran program kewangan Islam oleh universiti terkemuka dunia menuntut universiti tempatan mencari niche tersendiri dan mengenalpasti kekuatan program yang ditawarkan.
Fenomena ini juga tidak patut dilihat sebagai persaingan. Tetapi peluang kepada universiti tempatan untuk meneroka potensi usaha sama dengan universiti terkemuka dunia.
Kelebihan yang dimiliki universiti tempatan berdasarkan faktor suasana industri kewangan Islam di Malaysia yang agak terkehadapan boleh membantu dalam proses pembangunan dan perkembangan akademik dalam bidang ini.
Secara umumnya, faktor perkembangan pesat industri kewangan Islam dan krisis kewangan global merangsang dan menarik perhatian universiti terkemuka dunia untuk menawarkan program akademik berkaitan kewangan Islam.
Universiti tempatan juga perlu seiring dengan universiti terkemuka dunia untuk bersama-sama menyediakan modal insan yang mahir dan berkepakaran dalam bidang ini.
Ia bertujuan memenuhi keperluan semasa sektor kewangan Islam dan juga akan datang. Potensi yang dijanjikan oleh sektor kewangan Islam adalah amat besar dan peluang ini seharusnya diambil dengan sebaik-baiknya oleh institusi pengajian tinggi di Malaysia.
IKLAN@UTUSAN
|