|
KOTA BHARU 18 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendesak agar undang- undang mengenai petroleum digubal semula bagi mengembalikan hak dan keadilan kepada kerajaan negeri Kelantan.
Beliau berkata, peruntukan yang ada selama ini tidak mengambil kira kaedah keadilan asasi dan hanya mementingkan 'maslahah' sebelah pihak semata-mata.
''Dengan mengetepikan kaedah keadilan asasi, ia akan menimbulkan perasaan dendam, penindasan dan kezaliman,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau mengulas isu royalti petroleum yang dituntut Kelantan yang menimbulkan perdebatan hangat di Dewan Rakyat semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semasa menggulung perbahasan semalam menegaskan, tindakan kerajaan Pusat memberikan wang ihsan kepada Kelantan adalah mengikut lunas undang-undang berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Menurut Mohamed Nazri, kerajaan sedia berhadapan tindakan mahkamah oleh kerajaan Kelantan yang bertegas mendakwa layak mendapat royalti dan bukannya wang ihsan.
Nik Abdul Aziz berkata, sama seperti balak dan logam, petroleum adalah kurniaan Allah secara semula jadi di bumi Kelantan tanpa sedikit pun campur tangan manusia.
''Maka negeri ini berhak menjadi tuan punya kepada kurniaan itu sama seperti balak, logam dan lain-lain yang berada di muka bumi atau di perut bumi.
''Sebarang perselisihan dan pertikaian yang timbul dalam perkara ini mestilah diselesaikan dengan kaedah keadilan asasi," ujar beliau.
Dalam hal itu katanya, kerajaan Pusat boleh melaksanakan kaedah supaya sebahagian hasil dapat dimiliki bersama seperti dalam bentuk cukai pendapatan, namun hak pemilik sebenar mesti diambil kira.
IKLAN@UTUSAN
|