Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 19/11/2009
Datang juga EGM demi demokrasi - Tiong Lai

Datang juga EGM demi demokrasi - Tiong Lai

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) menggesa 2,300 perwakilan pusat parti itu supaya menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua pada 28 November ini bagi mempertahankan amalan demokrasi dalam parti.

Menurutnya, EGM itu perlu diadakan bagi menghentikan terus kemelut yang berlaku di dalam parti tersebut.

"Saya mahu memberitahu para perwakilan pusat di seluruh negara, inilah masanya untuk kita mempertahankan demokrasi dalam parti," tegasnya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu di Wisma MCA di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pergerakan Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan lima ahli CC, Lee Wei Kiat, Dr. Hou Kok Chung, Datuk Wee Jeck Seng, Datuk Liew Yuen Keong serta Datuk Wong Siong Hwee.

Dalam mesyuarat CC tersebut, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengumumkan barisan baru dalam Majlis Presiden yang menyaksikan rombakan di kalangan anggotanya.

Tee Keat menggunakan kuasanya sebagai Presiden mengikut Artikel 46 dalam perlembagaan parti untuk melucutkan sembilan ahli CC daripada Majlis Presiden.

Mereka ialah Ka Siong, Mei Fun, Wei Kiat, Kok Chung, Jeck Seng, Yoo Wei How, Gan Hong Su, Wong Nai Chee dan Datuk Chor Chee Heung.

Dalam pada itu, Tiong Lai menyifatkan tindakan rombakan tersebut sebagai satu operasi "pancung" Tee Keat sejak mesyuarat CC pada 3 November lalu.

Tambah beliau, rombakan itu bertujuan mengetepikan ahli CC yang mengingkari Tee Keat.

"Kami sedih dengan kejadian ini dan ia merupakan sejarah kali pertama dalam parti ini," katanya.

Tiong Lai juga menegaskan, EGM kedua itu adalah sah di sisi undang-undang parti.

Menurut beliau, mereka akan berunding dengan peguam mengenai resolusi EGM kedua untuk memastikan ia sah di sisi perlembagaan parti.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN