Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 19/11/2009
TPM persoal pelaksanaan pelan perpaduan MCA

TPM persoal pelaksanaan pelan perpaduan MCA

ROME 18 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan pelaksanaan pelan perpaduan MCA yang sehingga kini tidak menampakkan sebarang kesan sebaliknya krisis dalaman parti itu semakin kusut dan menyerlahkan proses cantas-mencantas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kegagalan MCA menyelesaikan krisis parti itu menyebabkan UMNO mungkin terpaksa mengambil alih peranan membantu masyarakat Cina di negara ini.

Katanya, UMNO tidak mahu campur tangan tetapi bimbang jika krisis dalaman parti itu tidak diselesaikan segera, UMNO mungkin terpaksa berbuat demikian.

Beliau yang kecewa dengan kegagalan MCA menyelesaikan masalah dalamannya turut menggesa parti itu supaya mencari jalan bagi menyelesaikan krisis kepimpinannya yang kini semakin 'gawat'.

''Adalah tidak elok untuk UMNO memainkan peranan yang sepatutnya dilakukan oleh MCA dalam menarik sokongan kaum Cina terhadap BN.

''Kita pernah cuba dan kita dapat maklum balas yang baik, bukan sebab mereka tak sokong BN tetapi sebab mereka tak gembira dengan apa yang berlaku dalam MCA," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai krisis dalaman MCA yang tidak berkesudahan dengan perkembangan terbaru Jawatankuasa Kerja (CC) parti itu memutuskan menolak diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 November ini.

Selain itu, Majlis Presiden turut menggugurkan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun yang merupakan penyokong setia Naib Presiden, Datuk Seri LiowTiong Lai.

Muhyiddin berkata, mungkin kenyataannya dianggap agak keras tetapi niat beliau baik supaya MCA menyelesaikan segera masalah dalamannya yang kini semakin kusut.

''Ini bukan soal campur tangan. Ini untuk bantu cari jalan penyelesaian. Bila pihak dalam parti tidak dapat persetujuan. Cari orang tengahlah...biasa dalam persidangan dunia pun kita kena cari orang tengah untuk selesai," katanya.

Menurut Muhyiddin, BN telah menjalin hubungan yang baik dengan masyarakat Cina menerusi MCA justeru beliau tidak mahu apa yang wujud hilang begitu sahaja.

''Jika MCA terdesak, UMNO juga terdesak maka UMNO membantu masyarakat Cina kerana mereka ada peranan penting dalam komuniti," ujarnya.

Masyarakat Cina, menurut Timbalan Perdana Menteri, tentunya tidak gembira parti yang mewakili mereka mengalami krisis kepimpinan dan beliau tidak mahu mereka meninggalkan BN atas sebab itu.

Sehubungan itu, jelas beliau, sekiranya tidak ada jalan penyelesaian lain bagi menangani masalah itu, buat masa ini UMNO perlu berperanan membantu masyarakat Cina dan India.

''Jika pilihan raya kecil diadakan, UMNO mahu bantu masyarakat Cina dan India dan mereka datang kepada kita kerana masih ada kepercayaan terhadap kepimpinan BN.

''Ini tanggungjawab besar dan kita mahu MCA dan MIC memainkan peranan masing-masing, sebab itu adalah penting semua komponen parti kukuh. Lebih cepat kita selesaikan masalah ini lebih baik," katanya.

Muhyiddin berkata, mungkin MCA perlu lebih daripada 'tempoh bertenang' bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu.

Beliau juga berharap presiden dan timbalan presiden parti itu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan supaya keadaan tidak menjadi lebih kusut.

''Mungkin perlu di peringkat jawatan kuasa tertinggi buat keputusan. Mungkin kuasa presiden MCA lebih besar berbanding presiden UMNO sehingga boleh buat keputusan begitu. Sama ada dia mematuhi perlembagaan saya kurang pasti. Tapi dibuat begitu akan timbul banyak perpecahan," katanya.

Beliau berkata, tidak ada gunanya MCA membuat Pelan Perpaduan jika parti itu terus melakukan tindakan cantas mencantas di kalangan mereka.

''Sekarang Ka Siong dan Mei Fun kat luar, mana pelan perpaduannya. Saya cuma mahu tahu mana pelan perpaduannya. Sebelum ini pun saya sudah cakap Pelan Perpaduan mesti dipatuhi oleh pemimpin dan ahli, cantas mencantas seperti ini bukan pelan perpaduan," katanya. - Utusan

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN