Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 19/11/2009
MoU bernilai lebih RM0.5j ditandatangani

MoU bernilai lebih RM0.5j ditandatangani

MAKASSAR (Sulawesi Selatan) 18 Nov. - Tiga Memorandum Persefahaman Kerjasama (MoU) antara agensi-agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Universiti Hasanuddin (UNHAS) di sini ditandatangani hari ini.

Ketiga-tiga MoU tersebut melibatkan agensi MOSTI iaitu SIRIM Berhad, MIMOS dan Technology Park Malaysia (TPM) yang membabitkan projek bernilai lebih RM500,000.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan kerja sehari ke Makassar dan turut dihadiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili serta pegawai-pegawai tertinggi Provinsi Sulawesi Selatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, kerjasama yang dimeterai oleh SIRIM Berhad dengan Universiti Hasanuddin itu melibatkan projek kerjasama dalam bidang pengurusan akuakultur serta projek pembangunan usahawan untuk komoditi kentang dan produk hiliran bernilai RM100,000.

Katanya, selain itu, MoU antara MIMOS dan pihak UNHAS adalah merangkumi bidang pertanian dan bidang marin.

Bagi bidang marin, pula katanya, projek yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak adalah projek pengesanan akuakultur (aquaculture sensor) dan bagi bidang pertanian adalah projek sistem pertanian jitu (precision agriculture) dengan keseluruhan projek itu bernilai RM104,000.

Tambah kenyataan itu, Technology Park Malaysia (TPM) pula telah menandatangani kerjasama dengan UNHAS dalam bidang komuniti sosial dengan memberi peluang para penyelidik dari UNHAS untuk menggunakan makmal dan fasiliti pemprosesan herbal milik TPM yang terletak di Raub, Pahang dengan bernilai projek RM370,000.

Keseluruhan projek di bawah ketiga-tiga MoU itu ujarnya, akan bermula pada akhir tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2010 dan ia merupakan kali pertama agensi MOSTI mengadakan hubungan kerjasama dengan agensi di Makassar.

Tambahnya, program kerjasama antara agensi-agensi MOSTI dan Ujung Pandang dijangka dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. - Utusan

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN