|
KUALA LUMPUR 17 Nov. - MCA yang kini bergolak dengan kemelut dalamannya perlu belajar daripada sejarah UMNO yang akhirnya dapat memperkasakan parti itu selepas beberapa kali dilanda krisis kepimpinan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, pengalaman UMNO berdepan dengan perpecahan harus dijadikan rujukan kerana sejarah telah membuktikan parti itu kembali kuat selepas berjaya menyelesaikan krisis dalamannya.
''Saya fikir pemimpin MCA yang bertelagah sekarang perlu belajar daripada sejarah UMNO. UMNO banyak kali berpecah sejak dari zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman sehinggalah pengharaman parti dan wujudnya parti serpihan seperti Semangat 46 dan sebagainya.
''UMNO bukan sahaja berjaya menangani perbezaan politik yang melanda tetapi kemudiannya membuktikan ia mampu menjadi sebuah parti yang lebih kuat.
''Aspek ini yang harus dijadikan rujukan oleh pemimpin MCA dalam menyelesaikan krisis dalaman mereka dengan segera,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Felo dan Pingat Emas Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di sini hari ini.
Musa berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang perlu diambil oleh MCA bagi menamatkan dengan segera krisis dalaman parti itu.
Ekoran persengketaan yang berterusan itu, beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) terutama UMNO telah tampil membuat kenyataan supaya MCA menyelesaikan masalah mereka dengan segera agar ia tidak memberi kesan kepada kerajaan.
Menjawab soalan sama ada wajar untuk UMNO campur tangan dalam krisis tersebut, Musa menjelaskan, telah menjadi prinsip parti tidak masuk campur dalam urusan rakan komponen.
''Tetapi jika dijemput ia menjadi isu lain dan ini terpulang kepada pucuk pimpinan sekarang untuk membuat keputusan demi kebaikan BN secara keseluruhan,'' jelasnya.
Pada majlis penyampaian anugerah tersebut, tokoh akademik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Taib Osman dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Nik Mohamed Nik Mohd. Salleh telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Felo PSM.
Sementara itu, tiga pelajar iaitu Noor Siti Fadzilah Shake Hussin, 23, dari Universiti Malaya (UM); Siti Fathihah Abd. Latif, 22, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Norhaffiza Ramle, 24, menerima Anugerah Pingat Emas PSM.
IKLAN@UTUSAN
|