Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 18/11/2009
Kota Siputeh jadi iktibar

Kota Siputeh jadi iktibar

ROME 17 Nov. - Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh harus dijadikan iktibar oleh semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) supaya mengambil berat soal kehadiran mereka pada sidang Dewan.

Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap sikap wakil rakyat yang memandang ringan soal tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu semalam, memberi pengajaran kepada mereka.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip BN menegaskan, adalah menjadi kewajipan untuk setiap wakil rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sepenuh hati.

''Saya kecewa. Saya tak nak buat sebarang andaian apa pun tetapi dalam keadaan yang genting sekarang kita perlukan wakil rakyat kita dalam BN yang terpilih di peringkat nasional dan DUN, ambil berat soal kehadiran dalam Dewan.

''Ia adalah sebahagian tanggungjawab yang utama kerana kalau tidak (hadir) semua masalah yang dihadapi oleh pengundi tak mungkin dapat dibawa ke sidang DUN dan tak dapat diberikan perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia sebelum menyampaikan penyataan negara pada Sidang Kemuncak Keselamatan Makanan Dunia di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh ekoran kegagalan ADUN kawasan itu, Datuk Abu Hassan Sarif hadir pada sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Muhyiddin berkata, kehadiran wakil rakyat pada sidang Dewan seharusnya bukan setakat memenuhi kuorum dalam Dewan tetapi untuk berperanan sebagai wakil rakyat yang berkesan.

Rakyat jelas beliau, akan menilai prestasi wakil rakyat di kawasan yang diwakili.

''Kalau kita malas dan tidak memberikan perhatian, tidak bersuara dan tidak memberi pandangan tentang isu masyarakat dan negara, kita tidak dapat diberikan penghargaan oleh pengundi, kesannya esok kepada kita," katanya.

Muhyiddin berkata, BN menghormati apa juga keputusan mahkamah dan sekiranya pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu, BN sedia untuk menghadapinya.

Jelasnya, beliau berada di Kedah minggu lepas untuk berjumpa pemimpin UMNO di negeri itu dan dimaklumkan mereka telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya serta menyusun strategi bagi memastikan kemenangan BN.

''Mereka telah bersiap sedia bukan sahaja untuk menghadapi pilihan raya kecil tetapi untuk jangka panjang bagi memperkukuhkan parti di Kedah. Ada strategi yang disusun untuk memastikan kita berjaya dan mengambil kira semua perkara itu, atas dasar tersebut kita yakin bersedia sepanjang masa untuk hadapi pilihan raya kecil," katanya. - Utusan

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN