|
![]() |
|
KERUSI yang sebelum ini diduduki oleh ADUN Kota Siputeh, Abu Hassan Sarif (barisan depan, dua dari kanan) kosong dan tidak mempunyai tanda nama pada majlis perasmian persidangan DUN Kedah, semalam. |
ALOR SETAR 17 Nov. - Ketiadaan Datuk Abu Hassan Sarif dan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh sebagai wakil rakyat Bebas mewarnai majlis perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi penggal kedua di sini hari ini.
Isu Abu Hassan yang kehilangan jawatan ADUN mencuri tumpuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam yang memutuskan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh yang disandangnya sebelum ini.
Keputusan itu berikutan kegagalan beliau menghadiri dua persidangan DUN secara berturut-turut sebelum ini.
Abu Hassan hari ini mengotakan janjinya untuk menghormati keputusan mahkamah dengan tidak hadir ke majlis perasmian berkenaan sementara menunggu tindakan lanjut meskipun ada khabar angin mengatakan kononnya beliau akan muncul.
Kelibat beliau tidak kelihatan sepanjang majlis perasmian persidangan (Mesyuarat Bajet 2010) yang disempurnakan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah itu.
Malah jawatankuasa DUN awal- awal lagi telah mengosongkan kerusi yang sebelum ini diduduki beliau di dalam Dewan dengan tidak meletakkan sebarang tanda nama di situ.
Dalam pada itu, Mohd. Radzhi menghadiri persidangan itu buat kali pertama sebagai wakil rakyat Bebas selepas keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 23 Ogos lalu.
Berbeza dengan persidangan DUN sebelum ini, ADUN Lunas itu kali ini ditempatkan di sebelah ADUN Bayu, Azmi Che Hussein yang berkedudukan paling hujung bagi wakil rakyat pembangkang.
Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Mohd. Radzhi memberitahu, meskipun kali pertama hadir sebagai wakil rakyat Bebas, dia tidak gentar sebaliknya yakin dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan baik di dalam Dewan mahupun di kawasannya.
"Keadaan macam biasa, saya tidak risau dan takut apa-apa. Apa yang penting, amanah saya sebagai wakil rakyat perlu dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|