|
KUALA LUMPUR 17 Nov. - Pusat Inovasi Kebangsaan (MyNIC) yang dirancang dibangunkan pada penghujung suku pertama tahun depan tidak hanya terhad kepada bidang bioteknologi tetapi semua bidang yang berpotensi untuk berkembang.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, MyNIC diharap mampu menyelaraskan semua bidang penyelidikan di negara ini.
"Melalui usaha itu juga, MyNIC akan dihubungkan dengan pusat kecemerlangan penyelidikan inovasi di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
"Dengan tertubuhnya MyNIC, ia diharap mampu memperoleh hasil penyelidikan yang lebih berkualiti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Bioteknologi semalam yang mengemukakan enam cadangan khusus kepada kerajaan termasuk mewujudkan pusat penyelidikan utama bidang berkenaan.
MyNIC juga adalah hasil daripada usul yang dikemukakan pada mesyuarat Majlis Inovasi Kebangsaan ke-4 baru-baru ini untuk merancakkan lagi bidang penyelidikan di negara ini.
Fadillah berkata, MyNIC merupakan antara mekanisme yang akan dilaksanakan oleh kementerian bagi mencapai tujuan tersebut.
Menurutnya, kementerian juga diberi tanggungjawab untuk memulakan kerjasama dengan kementerian lain dalam membangunkan bidang penyelidikan negara.
"Penubuhan MyNIC akan membolehkan semua sektor bergabung supaya lebih banyak pertukaran idea dan pandangan antara pakar-pakar saintis dapat dibangunkan," ujarnya.
Jelas beliau, penyelidikan tidak boleh tertumpu pada satu bidang sahaja, jadi semua aspek perlu disatukan untuk mendapat hasil yang lebih baik.
"Misalnya penyelidikan dalam bidang pertanian, aspek teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) juga diperlukan untuk membangunkan sistem dan mesin yang lebih berkesan," katanya.
Mengenai kaedah atau langkah menarik pekerja profesional yang berada di luar negara kembali memberi bakti kepada negara, Fadillah berkata, kekurangan kemudahan dalam bidang penyelidikan membantutkan usaha itu.
"Oleh sebab itulah, dengan adanya MyNIC kita lebih tekankan untuk membangunkan idea melalui kelengkapan peralatan yang mencukupi.
"Dengan adanya kawasan ini nanti, graduan yang terbaik di seluruh negara akan diambil bekerja di sini (MyNIC)," tambahnya.
IKLAN@UTUSAN
|