|
KUALA LUMPUR 16 Nov. – Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) Bioteknologi hari ini mengemukakan enam cadangan khusus kepada kerajaan termasuk mewujudkan pusat penyelidikan utama bidang berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah mewujudkan pusat itu penting bagi menarik minat lulusan dan pekerja berpengetahuan bioteknologi termasuk yang berada di luar negara untuk kembali ke Malaysia.
Katanya, turut ditekankan potensi besar Malaysia untuk muncul sebagai hab pembangunan klinikal di rantau ini terutama meningkatkan hasil industri kelapa sawit melalui pelbagai kaedah termasuk memanfaatkan bahan buangannya.
“Mesyuarat juga berpendapat apa yang dikatakan sebagai ujian tambah nilai klinikal dan ujian diagnostik adalah sesuatu yang boleh diberi keutamaan oleh Malaysia sebab kita mempunyai masyarakat yang berbilang kaum.
“Ujian itu sesuai dilakukan di Malaysia kerana rakyat kita yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India adalah mewakili sebahagian besar pasaran global,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
Sembilan ahli panel antarabangsa terlibat dalam mesyuarat berkenaan bagi membincangkan peluang dan cabaran mengkomersialkan industri bioteknologi negara.
Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat hari ini melihat kepentingan mewujudkan ekosistem menyeluruh bagi menampung pekerja berpengetahuan yang ingin kembali berkhidmat di samping keperluan modal bidang berkenaan.
Menurut beliau, anggota panel juga meminta kerajaan melihat jurang antara kursus yang diajar pihak universiti dengan keperluan sebenar di pihak industri.
“Pada umumnya panel mencadangkan supaya kita mewujudkan objektif nasional dalam mencapai dasar ekonomi hijau.
“Maknanya ada sasaran dalam hal ini seperti pengurangan pengeluaran gas karbon dioksida, pihak swasta atau awam boleh tentukan pelaburan yang perlu untuk capai sasaran itu,” ujarnya.
Mengenai perjalanan mesyuarat tersebut, Najib menyifatkan ia amat produktif memandangkan banyak cadangan positif yang dikemukakan.
Selain itu, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan memastikan cadangan IAP Bioteknologi yang dipersetujui pada mesyuarat itu diteliti bagi dilaksanakan.
“Pihak yang terlibat akan memastikan hal ini dilaksanakan secepat mungkin untuk membolehkan kita melihat hasilnya pada Mesyuarat IAP akan datang,” katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|