Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 17/11/2009
Malaysia komited jamin bekalan, keselamatan makanan

Malaysia komited jamin bekalan, keselamatan makanan

ROME 16 Nov. – Malaysia komited untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam usaha memastikan bekalan dan keselamatan makanan dunia terjamin demi keamanan sejagat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha itu jika tidak ditangani dengan berkesan dan bersungguh-sungguh akan menjadi beban serta menjejaskan bekalan makanan dan keselamatan dunia.

Malaysia jelas beliau, sedar bahawa isu keselamatan makanan penting dan sukar untuk ditangani tanpa kerjasama serta komitmen daripada negara-negara maju dan membangun.

‘‘Isu ini besar dan memang serius kerana kalau tidak ada kesungguhan dalam mengatasi masalah pengeluaran makanan, kemiskinan terus meningkat dan ini akan menggugat keamanan dunia.

‘‘Sejak dahulu lagi isu ini menjadi perhatian kerajaan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah salah sebuah agensi yang mempelopori usaha meningkatkan pengeluaran makanan. Kita sudah hampir berjaya tetapi perlu ada usaha berterusan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Keselamatan Makanan Dunia anjuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Muhyiddin dijadual menyampaikan penyataan negara mengenai pelaksanaan perubahan tadbir urus global berhubung keselamatan makanan esok.

Sidang kemuncak itu disertai lebih 60 ketua negara dan kerajaan bertujuan mendesak momentum baru bagi membasmi kebuluran yang menjejaskan 1.02 bilion penduduk dunia.

Muhyiddin berkata, Malaysia berharap dapat menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun depan dan usaha untuk mencapainya sedang dilakukan secara berterusan.

‘‘Peratusannya telah menurun kepada 2.7 peratus. Saya berharap kita dapat mengatasinya dan kemiskinan relatif lain, kita akan teruskan,” katanya.

Muhyiddin berkata, yang penting pada persidangan itu adalah bagaimana negara maju boleh memberikan komitmen dalam situasi dunia yang masih belum pulih.

Jelas beliau, statistik PBB menunjukkan hampir 1 bilion masyarakat dunia kini menghadapi masalah kebuluran berbanding 800 juta orang dalam tempoh dua tahun lepas.

Tahun ini, tambah beliau, bilangan golongan miskin meningkat kepada 1.5 bilion dan ini merupakan beban besar kepada dunia.

Sehubungan itu, beliau berharap, sidang kemuncak itu dapat mencapai persefahaman tentang bagaimana masyarakat dunia boleh membantu dalam soal pengeluaran dan keselamatan jaminan makanan.

Menurut Muhyiddin, pada persidangan negara-negara G8 sebelum ini, terdapat kesedaran untuk mewujudkan dana AS$20 bilion tetapi tidak diketahui berapa banyak yang dikumpul dan disalurkan kepada negara-negara membangun dan miskin.

Beliau berkata, antara objektif sidang kemuncak itu adalah menghapuskan kemiskinan sejagat dan meletakkan satu sistem pengurusan yang lebih berkesan dan bersepadu dalam membuat keputusan dan menentukan masalah keselamatan makanan dapat diuruskan dengan baik.

Di samping itu, ia juga untuk mewujudkan kerjasama di kalangan pemegang saham, kerajaan, masyarakat, pertubuhan yang mewakili kepentingan petani, badan kerajaan dan swasta untuk mewujudkan satu mekanisme tertinggi di peringkat antara kerajaan dalam menentukan dasar dan keputusan berkaitan isu keselamatan makanan.

‘‘Kita juga mahu tentukan cara bagaimana mendapat persetujuan dan kesepakatan untuk mewujudkan peraturan dan mekanisme untuk membantu petani di negara membangun dan maju supaya mereka memperoleh pendapatan yang setimpal dengan pekerjaan,” katanya.

Hadir sama pada sidang kemuncak itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. Beliau turut menjadi hos makan malam sempena sidang kemuncak itu malam ini. – UTUSAN

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN