|
PUTRAJAYA 16 Nov. - Negara-negara membangun seperti Malaysia memerlukan model pembangunan yang baru untuk melonjakkan pencapaian ekonomi dan kualiti hidup penduduknya.
Bekas Pengarah Urusan Bank Dunia, Dr. Mamphela Ramphele berkata, model pembangunan berasaskan industrialisasi yang digunakan sejak 1950-an mungkin tidak sesuai dengan semua negara.
''Negara-negara membangun tidak sepatutnya hanya mengutamakan penggunaan mesin sehingga mengabaikan faktor buruh dalam pengeluaran.
''Pengeluaran berasaskan buruh masih relevan kerana ia membantu menyara kehidupan penduduk di negara yang miskin dan memastikan mereka tidak bergantung kepada bantuan kebajikan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Sidang Kemuncak Pemuda (YES) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Mengenai masalah alam sekitar pula, Ramphele berkata, negara-negara membangun berhak memilih antara model pembangunan mampan dengan pembangunan segera.
Beliau bagaimanapun melahirkan rasa kecewanya kerana terdapat banyak negara yang memilih untuk berpeluk tubuh dalam isu alam sekitar walaupun mereka mampu melakukan sesuatu.
''Walaupun kita boleh memilih cara pembangunan yang dapat mengurangkan implikasi negatif kepada alam sekitar, tetapi malangnya kita tidak memilih untuk berbuat demikian.
''Negara-negara membangun umpamanya gemar berbelanja dari segi pembelian senjata daripada menggunakan sumber kewangan yang ada untuk memelihara alam sekitar," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, manusia perlu menyeimbangkan kebergantungan kepada teknologi moden.
''Interaksi secara bersemuka tidak harus digantikan dengan komunikasi melalui Internet," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|