|
PULAU PINANG 16 Nov. — Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang penganggur daripada dua tuduhan mengedar serta satu tuduhan memiliki dadah jenis kanabis.
Shahrul Azlan Abdul Jaffar, 23, dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di 214E Jalan Pondok Asam, Jelutong pada pukul 4 pagi 12 September 2004.
Ketika menyampaikan keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Yaakob Sam berkata tertuduh dilepaskan dan dibebaskan kerana pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie.
Katanya, wujud keraguan berkenaan lokasi penangkapan tertuduh dan pihak pendakwaan juga gagal memberi keterangan berhubung cara dadah itu ditimbang dan individu yang menimbangnya.
Disebabkan kecacatan dalam siasatan yang dijalankan, tertuduh tidak perlu menghadirkan diri ke mahkamah untuk pembelaan, katanya.
Shahrul Azlan didakwa mengedar dadah jenis kanabis masing-masing seberat 11,597.2 gram dan 2,792.2 gram serta tuduhan memiliki 99 gram dadah yang sama.
Bagi pertuduhan mengedar, Shahrul Azlan didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori manakala bagi pertuduhan memiliki dadah pula, dia didakwa menurut Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norina Zainol Abidin manakala peguam Ranjit Singh mewakili Shahrul Azlan. - Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|