|
KUALA LUMPUR 16 Nov. — Bilangan penuntut Malaysia di Amerika Syarikat menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan mereka terlalu mementingkan populariti sesebuah universiti semasa membuat permohonan kemasukan.
Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) James Coffman berkata, selain itu ia turut berpunca daripada kesukaran memperoleh visa pelajar sejak kejadian 11 September.
"Ketika ini seramai 5,500 penuntut Malaysia menuntut di Amerika berbanding 15 tahun lalu dengan lebih 18,000 penuntut belajar di sana.
"Apa yang penting bukanlah populariti universiti yang dipohon tapi yang lebih perlu diambil kira ialah kualiti pengajaran dan pembelajaran serta kelulusan,” katanya pada ceramah pendidikan tinggi sempena Minggu Pendidikan di Menara Yayasan Tun Razak di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menjangka bilangan itu akan meningkat lebih sekali ganda tahun depan memandangkan visa pelajar bagi rakyat Malaysia kini lebih mudah diperoleh. - Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|