|
KUALA TERENGGANU 16 Nov. — Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan 128 buah bot nelayan asing dan tempatan yang berada dalam zon Maritim Wilayah Timur sepanjang 11 bulan tahun ini kerana pelbagai kesalahan.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Timur Datuk Ismail Hamzah berkata, tangkapan itu dilakukan hasil pemeriksaan terhadap 3,583 buah bot dalam tempoh yang sama.
Dalam tempoh berkenaan, APMM juga telah merampas hasil tangkapan sebanyak RM204,000 daripada bot nelayan berkenaan dan 41 bot nelayan asing juga telah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun di perairan Pantai Timur sejak awal tahun ini, katanya kepada pemberita di sini ini.
Beliau berkata, selain dapat menggalakkan pembiakan ikan, penggunaan bot sebagai tukun di kawasan Taman Laut juga dapat mengelakkan nelayan daripada menjalankan kegiatan menangkap ikan sesuka hati kerana ia akan merosakkan pukat mereka.
Ismail berkata, dalam masa yang sama juga APMM telah melelong sembilan bot nelayan asing dengan nilai RM419,000.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata APMM Wilayah Timur telah dibekalkan dua lagi bot untuk menambahkan kekuatan di samping 10 buah kapal dan 11 bot yang ada. - Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|