|
SHAH ALAM 15 Nov. - Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, antara sebab beliau menerima jawatan Penasihat Ekonomi Selangor adalah kerana mahu mempertahankan negeri itu daripada dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau akan membantu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menangani beberapa isu yang wajar diberi perhatian seperti soal dana pertumbuhan ekonomi, pengurusan dan pelaburan di negeri berkenaan.
Menurutnya, pada awal pendekatan PKR dahulu, kerajaan negeri tersebut mahu menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Pusat dari sudut pembangunan tetapi usaha itu gagal.
Katanya, Abdul Khalid juga tidak diberi peluang untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri Kabinet.
''Saya respons kepada pengisytiharan perang oleh UMNO Selangor, jadi saya mengatakan kita (PKR) akan bertahan dan akan serang balas.
''Malah ada usaha untuk mengadakan satu kerajaan alternatif di Selangor. Kalau UMNO isytihar perang kita kena lawan," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen PKR Selangor yang turut dihadiri oleh Abdul Khalid di sini hari ini.
Konvensyen itu dirasmikan oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, mahu negeri itu dikembalikan kepada BN.
Jumaat lepas, Abdul Khalid mengumumkan pelantikan Anwar sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan negeri Selangor dengan elaun bulanan tetap RM1.
Difahamkan Anwar akan diberikan satu ruang pejabat di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini bagi memudahkan tugas-tugasnya di Selangor.
IKLAN@UTUSAN
|