|
KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kumpulan 16 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA tidak akan dikenakan sebarang tindakan berikutan desakan mereka agar satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi memilih kepimpinan baru parti itu.
Walaupun hak mereka mengadakan EGM pada 28 November ini termaktub dalam perundangan parti, usul yang ingin dibawa iaitu mengadakan pemilihan baru dikatakan menyalahi perlembagaan MCA.
Seorang anggota CC yang bukan daripada kumpulan itu, Senator Heng Seai Kie berkata, pemimpin tertinggi parti tidak membincangkan sebarang bentuk tindakan ke atas mereka sungguhpun cadangan EGM menimbulkan polemik dalam parti.
‘‘Apa yang penting, dialog dan taklimat hari ini memperlihatkan sokongan ahli akar umbi mengenai Pelan Perpaduan Menyeluruh yang diusulkan Presiden.
‘‘Itu yang menjadi fokus Presiden dan ahli CC lain, kami tidak membincangkan bentuk tindakan ke atas kumpulan tersebut kerana ia mungkin tidak selari dengan pelan tersebut,’’ katanya.
Seai Kie berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sidang akhbar mengenai taklimat tertutup dan sesi dialog bersama pemimpin bahagian parti di Wisma MCA di sini hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, cadangan menggunakan kaedah pemilihan baru yang melibatkan lebih ramai ahli di peringkat akar umbi merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan krisis kepimpinan dalam parti.
“Penggunaan kaedah pemilihan baru bagi pucuk pimpinan tertinggi parti dipersetujui sebulat suara oleh ahli CC dan pemimpin bahagian melalui perbincangan semasa sesi dialog hari ini,” katanya.
IKLAN@UTUSAN
|