|
KUALA LUMPUR 15 Nov. – Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA dan para pemimpin bahagiannya bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan mencontohi model pemilihan yang digunakan oleh UMNO dalam melantik pucuk pimpinan tertinggi parti.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, kaedah baru yang akan melibatkan lebih ramai ahli peringkat akar umbi menentukan pucuk pimpinan, dilihat dapat mewujudkan perpaduan dalam parti.
Menurutnya, ketika ini pucuk pimpinan MCA dipilih oleh ahli perwakilan pusat yang berjumlah kira-kira 2,500 orang.
“Sudah sampai masanya kita berpendapat bahawa lebih ramai ahli parti di peringkat akar umbi perlu diberi tanggungjawab dan peluang untuk menentukan pucuk pimpinan pusat.
“Kita akan bincang secara panjang lebar lagi tentang kaedah yang akan digunakan dan kemungkinan menggunakan kaedah pemilihan UMNO,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat tertutup dan sesi dialog bersama pemimpin bahagian MCA di Wisma MCA di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis taklimat itu ialah Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan beberapa ahli CC seperti Datuk Donald Lim Siang Chai, Senator Heng Seai Kie, Loh Seng Kok, Datuk Paul Kong Sing Chu, Datuk Seri Tan Chai Ho dan Mah Hang Soon.
Ahli CC MCA yang tidak hadir pula ialah Naib Presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha; Setiausaha Agung, Datuk Wong Foon Meng; Bendahari Agung, Tan Sri Tee Hock Seng serta kesemua 16 orang yang menggesa diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kedua MCA termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun.
IKLAN@UTUSAN
|