Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 16/11/2009
Tiong Lai dakwa banyak dapat sokongan

Tiong Lai dakwa banyak dapat sokongan

BENTONG 15 Nov. - Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendakwa semakin ramai ahli parti menyokong tindakannya untuk menentang Pelan Perpaduan Menyeluruh yang dikemukakan oleh Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata, sebelum ini kebanyakan ahli keliru dan salah faham terhadap pelan perpaduan tersebut yang disangkakan baik untuk parti.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan ahli kini sedar bahawa pelan perpaduan itu hanya membelakangkan prinsip dan kepentingan parti.

"Kalau kita lihat, pelan perpaduan ini dizahirkan kerana kedua-dua mereka (Tee Keat dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek) mendapat sokongan sebahagian besar perwakilan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang lalu.

"Asasnya saja sudah tidak teguh apatah lagi pelaksanaannya nanti. Andaikan jika salah seorang daripada mereka menang besar pada EGM itu, akan wujud jugakah pelan perdamaian ini?" katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Topi Keledar Kanak-Kanak Genting di Sekolah Kebangsaan Sulaiman di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh; Pengerusi MCA Pahang, Datuk Hoh Khai Mun dan Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasi Genting Malaysia Berhad, Datuk Anthony Yeoh.

Ditanya mengapa beliau tidak menghadiri majlis taklimat mengenai pelan perpaduan yang dipengerusikan Soi Lek di ibu negara hari ini, Tiong Lai berkata:

"Saya mempunyai banyak program rasmi di kawasan Parlimen dan beberapa program lain yang telah ditetapkan lebih awal.''

Menurutnya, semua pihak perlu sedar bahawa taklimat berkenaan dipengerusikan oleh Soi Lek yang jawatannya sebagai Timbalan Presiden turut dipertikaikan.

"Apa yang penting, kita mahu semua perjalanan aktiviti dalam parti perlu berlandaskan prinsip dan mematuhi perlembagaan parti," ujarnya.

Beliau turut mengulangi gesaan agar Tee Keat dan Soi Lek menghormati keputusan EGM parti Oktober lalu dan bukan memperlekeh dan memutarbelitkan keputusan tersebut atas nama demokrasi.

"Kita nak pemimpin menghormati EGM, sebab itu adalah pandangan bernas dan ikhlas daripada ahli yang melihat sendiri pergolakan dalam parti,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN