|
![]() |
|
Chua Soi Lek (dua kiri) bercakap kepada media sambil diperhatikan Ong Tee Keat (tengah) selepas sesi dialog bersama pemimpin bahagian MCA mengenai pelan perpaduan di Wisma MCA, Jalan Ampang, semalam. - UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed |
KUALA LUMPUR 15 Nov. - Lebih 70 peratus pemimpin bahagian MCA yang menghadiri taklimat khas parti itu hari ini menyokong Pelan Perpaduan Menyeluruh yang dibentangkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Tee Keat berkata, kira-kira 620 pemimpin bahagian yang hadir pada majlis taklimat itu mahu melihat kemelut dalaman parti dapat diselesaikan dengan segera.
''Kehadiran dan sokongan ke atas pelan itu akan dijadikan wadah parti untuk kembali stabil, seterusnya membantu Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang,'' katanya pada sidang akhbar selepas taklimat dan dialog tertutup MCA di Wisma MCA di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan respons hari ini juga, MCA akan cuba menepati permintaan para pemimpin bahagian tersebut untuk membentangkan Pelan Perpaduan Menyeluruh ke peringkat akar umbi khasnya di peringkat negeri.
Taklimat tertutup dan sesi dialog itu dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa khas bagi pelaksanaan Pelan Perpaduan Menyeluruh MCA.
Pemimpin bahagian MCA terlibat juga sebulat suara menolak usul mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti yang dijadual berlangsung pada 28 November ini kerana perkara-perkara yang akan dibangkitkan menyalahi perlembagaan MCA.
Majlis tersebut sepatutnya dihadiri oleh 955 pemimpin bahagian MCA dari seluruh negara bagaimanapun kira-kira 620 orang yang menghadirinya.
Sementara itu, Soi Lek memberitahu, kepimpinan tertinggi MCA menghormati hak ahli Jawatankuasa Pusat (CC) parti untuk mengadakan EGM pada 28 November ini namun menegaskan sebarang usul yang akan dibentang tidak akan diterima oleh MCA Pusat.
''Apabila para perwakilan hadir ke satu EGM yang usulnya tidak sah, maka sebarang keputusan EGM itu tidak dapat dilaksanakan.
''Dalam perbincangan hari ini, kebanyakan pemimpin MCA termasuk dari peringkat akar umbi bersetuju untuk tidak hadir dalam EGM 28 November itu'' jelasnya.
Diminta mengulas lanjut, Soi Lek sekadar memberitahu, perkara itu akan dijelaskan oleh para peguam parti berkenaan kelak.
Tee Keat dan Soi Lek juga sependapat mereka tidak akan menghalang hasrat kumpulan 16 anggota CC parti yang ingin menjalankan EGM pada 28 November ini dan pada masa yang sama, mereka juga ditawar menyertai Pelan Perpaduan Menyeluruh itu.
Kemelut kepimpinan MCA bertambah parah apabila EGM pertama pada 10 Oktober lalu meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Tee Keat dan membatalkan keputusan Majlis Presiden untuk memecat Soi Lek tetapijawatan Timbalan Presiden tidak dikembalikan kepada Soi Lek.
Bagaimanapun pada mesyuarat CC MCA 15 Oktober lalu, Tee Keat mengumumkan beliau tidak akan meletakkan jawatan Presiden dan Tiong Lai dilantik sebagai Timbalan Presiden.
Namun Pendaftar Pertubuhan (ROS) kemudiannya mengesahkan Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA sementara Tiong Lai kembali menyandang jawatan Naib Presiden.
Ekoran itu sekumpulan 16 anggota CC termasuk Tiong Lai kemudiannya mendesak dan merancang mengadakan satu lagi EGM bagi memberi laluan kepada pemilihan baru parti pada 28 November ini.
IKLAN@UTUSAN
|