Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 16/11/2009
AELM buat ketetapan tegas – PM

AELM buat ketetapan tegas – PM

SINGAPURA 15 Nov. – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia Pasifik (AELM) telah dapat melahirkan satu ketetapan yang tegas dan konkrit dalam usahanya untuk memulihkan ekonomi dunia.

Katanya para pemimpin 21 ekonomi Asia Pasifik itu dengan tegas menolak sebarang langkah ke arah perlindungan perdagangan dan mahukan rundingan Pusingan Doha dimuktamadkan menjelang akhir tahun depan.

Bercakap pada persidangan akhbar selepas menghadiri mesyuarat itu di sini, Najib berkata mereka juga bersetuju untuk menyelaraskan tindakan mereka dalam usaha membangunkan ekonomi serantau supaya lebih mampan, inklusif dan seimbang.

Tambahnya, pemimpin itu mahu melihat rantau ini mempunyai pembangunan yang seimbang, terbuka, mempunyai jaringan keselamatan sosial, kemajuan dalam perusahaan kecil dan sederhana, dan yang boleh dinikmati secara adil dan saksama oleh penduduk serantau.

Turut disentuh dalam mesyuarat AELM itu ialah soal perubahan iklim kerana ia ada kaitan dengan malapetaka yang boleh berlaku pada bila-bila masa, dan bagi menghadapinya, semua pemimpin ekonomi itu bersetuju untuk membantu dalam sebarang operasi bantuan bencana.

Mengenai menyatukan ekonomi rantau ini, para pemimpin Asia Pasifik itu, kata Najib, akan meneruskan usaha-usaha untuk membawa ekonomi mereka ke arah itu dan sekarang pun sudah ada inisiatif oleh satu kumpulan baru dipanggil Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang hendak meluaskan lagi kawasan perdagangan bebas.

TPP adalah satu kerjasama antara Brunei, Singapura, Chile dan New Zealand dan kini mulai mendapat minat Amerika Syarikat, Australia, Peru dan Vietnam.

Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata memandangkan semakin banyak kumpulan serupa itu seperti Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), ASEAN+3, ASEAN+6 dan kini TPP, maka usaha hendaklah dilakukan bagi menyelaraskan (harmonise) peranan mereka ke arah satu matlamat utama meluaskan kawasan perdagangan bebas.

Mesyuarat santai itu yang berlangsung sejak semalam telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong. – BERNAMA

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN