|
![]() |
|
Operasi serbu pendatang asing tanpa izin oleh polis, imigresan dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sekitar Ampang, semalam. |
KUALA LUMPUR 15 Nov. - Selepas puas menyorok di kawasan setinggan, rumah kongsi dan premis terbiar, pendatang asing tanpa izin (PATI) kini menjadikan pusat jagaan warga emas pula sebagai tempat persembunyian mereka.
Helah menyewa bilik yang sepatutnya dihuni warga emas itu terbongkar apabila Ops Bersepadu Nyah II, yang dijalankan sekitar Ampang malam tadi berjaya menahan 15 warga asing yang bersembunyi di situ.
Operasi yang bermula pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi ini melibatkan 300 anggota termasuk Polis Ampang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Imigresen Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, serbuan pihaknya mendapati pusat jagaan itu dihuni rata-rata pendatang asing dan bukan warga emas.
Daripada 175 warga asing yang diperiksa dalam serbuan itu, katanya, seramai 50 daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 15 PATI ditahan ketika nyenyak tidur di rumah penjagaan warga emas Kampung Ampang Indah.
"Sebahagian besar penghuni bangunan empat tingkat itu merupakan warga asing dan hanya terdapat tujuh orang warga emas tempatan," katanya ketika ditemui di sini awal pagi ini.
Difahamkan, setiap PATI sanggup membayar sewa bulanan antara RM300 hingga RM400 untuk satu bilik di pusat jagaan tersebut.
Abdul Jalil berkata, pihaknya sedang memburu pemilik bangunan itu untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Abdillah Azizudin berkata, kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke depot tahanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk urusan selanjutnya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|