|
KUALA LUMPUR 14 Nov. — Kementerian Kesihatan sedang menimbangkan untuk bertukar kepada vaksin selesema bermusim yang turut mengandungi vaksin Influenza A (H1N1) menjelang Februari atau Mac untuk menawarkan perlindungan penuh bagi semua jenis penyakit serupa influenza.
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, vaksin itu masih dibangunkan dan dijangka berada di pasaran menjelang suku pertama tahun depan.
"Menjelang tahun depan, vaksin selesema bermusim akan turut mengandungi vaksin influenza A (H1N1), (dan) jika saya pilih suntikan selesema bermusim, saya akan dapat perlindungan untuk virus influenza H1N1 juga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen anti Aedes peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Mengenai vaksin influenza A (H1N1), Tiong Lai berkata, kementerian akan menerima semua 400,000 dos yang ditempahnya menjelang awal Januari.
"100,000 dos pertama sudah diterima, banyak lagi akan sampai dari semasa ke semasa. Kami akan berikan vaksin kepada kumpulan berisiko tinggi dan menjelang awal Januari, kami akan terima bakinya,” katanya. - Bernama
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|