|
BUKIT MERTAJAM 12 Nov. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang malam ini mengumumkan barisan ahli jawatankuasanya yang baru termasuk melantik semula dua Exco kerajaan negeri yang digugurkan sebelum ini.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir negeri, Law Choo Kiang yang digugurkan pada Januari lalu dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi.
Sementara itu, Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim yang pernah memegang jawatan Setiausaha sebelum digugurkan, dilantik menjadi Naib Pengerusi I.
Dua lagi jawatan Naib Pengerusi diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, S. Raveentaharan dan ADUN Sungai Bakap, Makhtar Shapee.
Senator Mustafa Kamal Mohd. Yusoff pula dilantik sebagai Setiausaha.
Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Mansor Othman berkata, pelantikan barisan kepimpinan yang baru adalah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
''Sengaja kita buat awal-awal kerana kita mahu bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Aman di sini hari ini.
Mansor turut mengumumkan penubuhan Biro Pilihan Raya yang diketuai oleh Mustafa Kamal.
IKLAN@UTUSAN
|