|
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Bagi memenangi hati rakyat dan kekal relevan, Pergerakan Pemuda UMNO membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu akan bermula seawal tahun depan dan ia juga selaras dengan petunjuk prestasi utama (KPI) parti yang ditetapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan agung parti bulan lalu.
''Antara strategi kita menjelang 2010 adalah terus masuk mode pilihan raya walaupun pilihan raya umum akan datang mungkin berlangsung dalam tiga tahun lagi.
''Ini dasar yang ditetapkan di peringkat Exco Pemuda UMNO,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Menurut Khairy, antara KPI yang ditetapkan oleh Najib adalah penambahan ahli baru UMNO dan pendaftaran pengundi.
Selari dengan itu, katanya, sayap berkenaan akan menganjurkan Kursus Perdana Pergerakan Pemuda UMNO di Janda Baik, Pahang dari 3 hingga 6 Disember ini.
Jelasnya, kursus itu bakal dihadiri oleh 400 pemimpin pergerakan tersebut dari bahagian di seluruh negara.
Kursus perdana itu juga dijangka memberi impak besar terhadap pemikiran dan budaya politik para peserta terlibat, ujarnya.
IKLAN@UTUSAN
|