Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 13/11/2009
Biaya EGM kedua MCA RM19,292 dikumpul

Biaya EGM kedua MCA RM19,292 dikumpul

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Kumpulan 16 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA yang berpendirian untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua parti itu pada 28 November ini berjaya mengumpul sebanyak RM19,292 bagi membiayai mesyuarat tersebut.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya perlu mendapatkan sekurang-kurangnya RM48,000 untuk menampung kos sewa Dewan San Choon di Wisma MCA bagi mengadakan EGM itu.

‘‘Kami telah membayar sejumlah RM10,000 deposit bagi sewa Dewan San Choon kepada MCA Sdn. Bhd. untuk mengadakan EGM kedua ini,’’ katanya pada sidang akhbar sebelum taklimat tertutup di Wisma MCA di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Wanita parti itu, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ahli CC, Wong Nai Chee.

Dalam pada itu, kira-kira 500 ahli parti berkenaan termasuk ahli CC dari cawangan Tanjung Piai dan Pontian, Johor, hadir di Wisma MCA untuk berjumpa Tiong Lai.

Kehadiran ahli-ahli MCA berkenaan bertujuan memberi sokongan dari segi kewangan dan moral kepada Tiong Lai untuk mengadakan EGM itu.

Ka Siong berkata, beliau yakin para perwakilan pusat MCA akan menyokong dan menghadiri EGM kedua itu nanti.

Dalam pada itu, Ka Siong juga menyeru ahli-ahli parti itu menghadiri EGM kedua tersebut agar amalan demokrasi MCA dapat dipulihkan.

Beliau berkata, pihaknya tetap akan mengatur penginapan kepada para perwakilan pusat menghadiri EGM kedua itu nanti yang akan diadakan selama dua hari.

Pada 10 Oktober lalu, MCA telah membelanjakan sebanyak RM70,000 untuk mengadakan EGM sebagai kos perbelanjaan mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mahu ahli di peringkat akar umbi diberi mandat untuk memilih pemimpin yang layak memegang jawatan Timbalan Presiden parti.

Tegasnya, Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek tidak boleh menyerahkan jawatannya begitu sahaja kepada beliau sebaliknya perlu menghormati keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Oktober lalu.

“Jawatan Timbalan Presiden parti adalah kepunyaan MCA dan bukan kepunyaan sesiapa atau individu dalam parti, maka ini bermakna ia bukan kepunyaan Soi Lek atau pun saya.

“Sehubungan itu, Soi Lek tidak boleh berkata beliau akan menyerahkan jawatannya kepada saya dengan sewenang-wenangnya kerana ini bukan masalah peribadi tetapi masalah parti.

“Jika Soi Lek betul-betul menghormati suara ahli pada EGM bulan lalu, beliau harus menyerahkan jawatannya kepada para perwakilan parti untuk memilih pemimpin yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum menghadiri taklimat tertutup dengan seramai 500 ahli MCA dari cawangan Tanjung Piai dan Pontian.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN