Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 13/11/2009
Soi Lek cabar Tiong Lai

Soi Lek cabar Tiong Lai

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dicabar tidak bertanding sebarang jawatan dalam parti itu sekiranya diadakan pemilihan baru bagi memilih pemimpinnya.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang membuat cabaran itu berkata, langkah tersebut bagi membuktikan Tiong Lai ikhlas dalam menjaga perpaduan MCA.

“Kalau Tiong Lai tidak bertanding, saya juga tidak akan bertanding bagi menunjukkan keikhlasan saya kepada parti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri taklimat tertutup mesyuarat Pelan Perpaduan MCA di sini hari ini.

Menurutnya, Tiong Lai harus mengotakan janjinya kepada parti supaya keyakinan ahli MCA terhadap beliau akan terus terpelihara.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen; Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie dan dua Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Loh Seng Kok serta Gan Ping Sieu.

Semalam, Soi Lek berkata, beliau bersedia menyerahkan jawatan Timbalan Presiden MCA kepada Tiong Lai bagi menyelesaikan konflik dalaman parti itu.

Menurut Timbalan Presiden MCA itu, beliau akan berbuat demikian jika itu yang diingini oleh Tiong Lai yang sebelum ini sempat menjadi Timbalan Presiden selama 19 hari.

Sementara itu, Soi Lek juga berterima kasih kepada Tiong Lai kerana mengamalkan demokrasi dalam parti tersebut dengan mengadakan EGM kedua bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Bagaimanapun katanya, beliau begitu terkejut apabila mengetahui Tiong Lai berubah pendirian apabila tidak lagi menyokong Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.

“Saya mahu mengingatkan Tiong Lai bahawa dia merupakan salah seorang pemimpin parti yang mengutuk dan menyoalkan motif saya untuk mengadakan EGM pertama bulan lalu.

“Tetapi apabila usul tidak percaya kepada Presiden parti telah diluluskan, Tiong Lai telah berubah serta-merta dan apakah sebenarnya motif tindakan beliau itu,’’ katanya.

Sementara itu ahli CC, Datuk Tan Chai Ho dalam kenyataan akhbar pula berkata, kepercayaan ahli MCA kepada Tiong Lai sudah hilang kerana beliau menyebabkan perselisihan faham di kalangan pemimpin dalam parti itu.

“Tiong Lai telah lupa pendiriannya iaitu pemimpin parti tidak akan meletak jawatan, parti tidak mengadakan pemilihan baru dan masalah MCA tidak akan dibawa ke mahkamah,” katanya.

Menurutnya, EGM kedua yang disokong oleh Tiong Lai pada 28 November ini jelas menunjukkan beliau sedang berusaha untuk menjaga kepentingan dirinya sendiri.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN