Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 13/11/2009
Lebih peluang, ramai rakan

Lebih peluang, ramai rakan


Najib Tun Abdul Razak menyaksikan majlis penukaran dokumen perjanjian di antara Menteri Ekonomi, Industri dan Guna Tenaga Perancis, Christine Lagarde (kiri) dan Timbalan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin (kanan) di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. – BERNAMA


PUTRAJAYA 12 Nov. – Wujudkan lebih banyak peluang dan ramaikan rakan di kalangan sesama negara. Iltizam itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono hasil rundingan dua hala dua pemimpin berkenaan hari ini.

Pada sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra di sini, kedua-dua pemimpin bertekad tidak akan membiarkan satu dua isu mengganggu-gugat hubungan Kuala Lumpur-Jakarta.

‘‘Dalam pertemuan hari ini, saya berkongsi tekad dengan Susilo untuk tidak membiarkan hubungan dua negara dalam situasi ‘pasang surut’, walaupun berlaku beberapa masalah, ia bersifat kecil dan (berlaku) dalam kelompok kecil.

‘‘Oleh itu kami mengusulkan bahawa hubungan tradisional seperti kunjungan antara pemimpin dan institusi akan diteruskan. Kita melihat hubungan bentuk baru umpamanya dipupuk hubungan media dengan media, Parlimen dengan Parlimen, parti politik dengan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan NGO.

‘‘Begitu juga golongan belia yang akan diberi keutamaan khas dalam hubungan dua hala ini,” kata beliau.

Rundingan kedua-dua pemimpin dimulakan dengan siri pertemuan empat mata, diikuti Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) serta mesyuarat delegasi. Demikian juga dengan perakuan Susilo yang menarik perhatian mengapa Malaysia menjadi negara pilihannya yang pertama untuk dikunjungi sebaik sahaja menyandang jawatan Presiden penggal kedua baru-baru ini.

‘‘Mengapa? Malaysia adalah tetangga dekat, sahabat dan rakan yang kuat untuk kemajuan kedua-dua bangsa.

‘‘Kami sungguh ingin tali persahabatan dan persaudaraan di antara kedua-dua bangsa yang memiliki akar kesejarahan budaya, bahkan akar peradaban ini tetap dapat dijaga dengan sebaik-baiknya.

‘‘Kalau ada masalah, segera kita atasi secara bijak dan tepat, dengan penelitian kebaikan yang banyak hasil kerjasama positif yang tidak sedikit pun tertutup oleh satu dua isu yang berkaitan,” kata Presiden itu.

Susilo mengakui, dalam kalangan ratusan ribu rakyat Indonesia dan Malaysia yang berada di kedua-dua negara tentu sekali akan timbul perbezaan pendapat dan pandangan.

‘‘Indonesia tidak pernah mempunyai masalah dengan masyarakat seperti di Somalia, Amerika Latin, Croatia atau Eropah tetapi tetangga dekat (negara jiran) sekali-sekala menjadi seperti itu.

‘‘Dan tugas kami sebagai pemimpin adalah mengelola dengan bijak dan arif. Jangan sampai membesar dan melebar (sesuatu isu), jangan jadi suatu yang justeru mengganggu apa yang telah kita kerjasamakan selama ini,” katanya.

Hubungan KL-Jakarta kebelakangan ini diselubungi kritikan oleh pihak tertentu di Indonesia dalam isu-isu remeh dan terpencil.

Antaranya isu tarian pendet, lagu terang bulan, penderaan segelintir pembantu rumah warga Indonesia sehingga menimbulkan keresahan hubungan kedua-dua negara.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN