Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 13/11/2009
Bakal pengantin, tiga ahli keluarga maut kemalangan

Bakal pengantin, tiga ahli keluarga maut kemalangan


Keadaan kereta Proton Iswara yang remuk dinaiki bakal pengantin, K. Kanmani (kiri) dan abangnya, K. Balamurlikrishnan (kanan) yang maut dalam kemalangan jalan raya merempuh belakang treler di Kilometer 17, Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, semalam. - Utusan/MAHATHIR ALI


KUANTAN 12 Nov. - Hajat seorang wanita untuk melangsungkan perkahwinan keduanya hari ini tidak kesampaian apabila dia bersama tiga ahli keluarganya maut dalam nahas ngeri di Kilometer 17, Jalan Gambang berdekatan Taman Mahkota Jaya di sini pagi ini.

Kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaiki wanita itu, K. Kanmani, 19, bersama enam ahli keluarganya merempuh sebuah treler yang sedang berhenti di tepi jalan itu.

Kemalangan ngeri yang berlaku kira-kira pukul 6 pagi itu mengakibatkan kereta tersebut remuk teruk selepas terperosok di bawah treler terbabit.

Ketika kejadian, K. Kanmani, 19, dan ahli keluarganya dalam perjalanan ke rumah saudaranya sebelum bertolak ke sebuah kuil di Gambang untuk melangsungkan perkahwinan.

Turut terkorban dalam nahas itu, anak lelaki Kanmani hasil perkahwinan dengan suami terdahulu, Sankaran berusia setahun, abangnya yang juga pemandu kereta, K. Balamurlikrishnan, 29, serta anak saudaranya, Hariharan, 4.

Kesemua mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Kemalangan itu turut menyebabkan isteri Balamurlikrishnan, B. Sharda, 25, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Dua orang lagi mangsa hanya mengalami cedera ringan iaitu anak perempuan Balamurlikrishnan, B. Kartik, 3, dan saudara lelakinya S. Kogilan, 18. Kesemua mereka berasal dari Kampung Bintang, Maran dan Taman Tas di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, keluarga terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Taman Tas ke sebuah kuil di Gambang untuk melangsungkan perkahwinan Kanmani.

"Sebuah lori treler dikatakan sedang berhenti di tepi jalan di lokasi kemalangan. Pemandu kereta terbabit yang tidak menyedari kenderaan berat itu lalu merempuh belakang treler berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zulkifli memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5132222 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN