|
![]() |
|
ANI Yudhoyono bersalaman dengan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sambil diperhatikan Rosmah Mansor (kiri) dan Tun Rahah Mohd. Noah (dua dari kanan) pada majlis ramah mesra bersama ahli-ahli Bakti di Sri Satria, Putrajaya, semalam. |
PUTRAJAYA 12 Nov. - Datin Seri Rosmah Mansor yakin isteri para pemimpin negara asing boleh memainkan peranan dalam membantu memantapkan hubungan diplomasi antara negara.
Beliau berkata, ikatan yang tersimpul kuat khususnya dengan Indonesia hasil hubungan akrab tidak akan mudah diganggu-gugat oleh isu-isu yang mungkin kecil atau remeh.
"Seperti kita sedia maklum, sebagai negara jiran yang paling dekat, tentu akan sentiasa wujud pelbagai isu melibatkan kedua-dua negara.
"Walaupun isu-isu ini perlu diatasi di peringkat kerajaan, namun saya pasti ia tidak akan mudah merenggangkan hubungan akrab yang sedia terjalin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama isteri Presiden Indonesia, Ani Yudhoyono di Sri Satria di sini hari ini.
Rosmah berkata, hubungan erat Malaysia dan Indonesia lebih berteraskan kepada persaudaraan serumpun dari segi bangsa, bahasa dan budaya.
"Hubungan ini terbina sejak sekian lama dan menjadi tonggak kepada persahabatan kedua-dua negara," katanya.
Turut meraikan Ani bersama para delegasi Indonesia ialah Tun Rahah Mohd. Noah, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta ahli-ahli Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).
Sementara itu, Ani dalam ucapan balasnya turut meminta ratusan ribu rakyat Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia menjaga tingkah laku dan bekerja dengan baik.
"Apabila berada di rantau orang, kita perlulah pandai menjaga diri dan nama baik negara serta bekerja bersungguh-sungguh," katanya.
Beliau turut meminta para majikan di negara ini menjaga kebajikan pekerja Indonesia.
IKLAN@UTUSAN
|