|
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Korea Selatan amat menghargai peranan serta sumbangan Malaysia kearah memupuk keamanan dan kestabilan di Asia Utara, terutama di Semenanjung Korea, kata duta besar negara itu ke Malaysia, Bong Ryull Yang.
Beliau berkata, Kuala Lumpur sentiasa konsisten dalam pendiriannya untuk melihat satu resolusi aman kepada isu program nuklear Korea Utara yang menimbulkan ketegangan di Semenanjung Korea sejak bertahun-tahun lamanya.
Katanya, Malaysia juga banyak menyokong Perbincangan Enam Negara yang membabitkan Korea Selatan, Korea Utara, China, Jepun, Rusia dan Amerika, yang disasarkan untuk mencari penyelesaian secara aman kepada isu program nuklear Pyongyang.
''Pendirian Malaysia jelas.., tiada nuklear di Semenanjung Korea..., dan penyelesaian secara aman kepada semua masalah dan isu," katanya kepada Bernama di luar Forum Ke-empat Kerjasama Korea-ASEAN di sini hari ini.
Ryull Yang juga berkata, dalam banyak pentas antarabangsa, sama ada menerusi forum-forum dua hala, pelbagai hala dan serantau, Malaysia sentiasa menegaskan harapannya supaya ketegangan di Semenanjung itu tidak memuncak, dan dialog serta rundingan perlu digerakkan bagi menyelesaikan sebarang isu atau masalah.
Ketegangan di rantau itu memuncak ekoran pertembungan kapal perang Korea Utara dan Korea Selatan di sekitar sempadan kawasan pertikaian di Yellow Sea hari Selasa, yang merupakan pertempuran pertama seumpama itu sejak tujuh tahun lepas.
Kedua-dua negara mula berperang pada tahun 1950, dan ia tamat tiga tahun kemudiannya, namun tiada perjanjian damai ditandatangani, menyebabkan kedua-dua negara secara teknikalnya masih dalam keadaan 'berperang'. - BERNAMA
IKLAN@UTUSAN
|