Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 13/11/2009
Isyarat positif hubungan Malaysia-Indonesia – Najib

Isyarat positif hubungan Malaysia-Indonesia – Najib

PUTRAJAYA 12 Nov. – Hasil lawatan dua hari Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono ke Malaysia sangat bermakna dan memberi isyarat positif dalam hubungan dua hala serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Demikian kesimpulan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai lawatan itu, yang berakhir hari ini.

Najib berkata dua mesej utama yang dapat disimpulkan ialah mewujudkan lebih banyak peluang bagi interaksi ekonomi dan membantu membuat lebih banyak rakan daripada kedua-dua negara.

“Kedua-dua pemimpin sepakat kedua-dua kerajaan beriltizam untuk terus memantapkan hubungan kedua-dua negara supaya tidak berlaku pasang surut tetapi kekal sebaik mungkin,” katanya.

Najib berkata mereka sedar walaupun berlaku beberapa masalah tetapi ia bersifat kecil dan berlaku dalam kelompok kecil sahaja dan ia tidak patut menutup kebaikan besar yang dilakukan oleh kedua-dua pemerintah.

Susilo pula berkata beliau inginkan tali persahabatan dan persaudaraan kedua-dua bangsa yang memiliki akar budaya yang sama dapat dijaga dengan sebaik-baikya.

“Jika ada masalah, atasi cepat-cepat kerana tidak mahu kerana sedikit masalah boleh menjejaskan hubungan yang baik,” katanya.

Beliau sedar tentunya masalah kecil akan timbul sekali-sekala antara kedua-dua negara disebabkan terdapat ramai rakyat Indonesia di Malaysia dan juga ramai rakyat Malaysia di Indonesia serta kedudukan negara jiran yang berdekatan antara satu sama lain.

Indonesia tidak ada masalah dengan Somalia atau Afrika, katanya yang merujuk sudah tentu keadaan itu berlaku disebabkan tidak ramai rakyat Indonesia di negara-negara tersebut, ditambah pula kedudukan negara-negara itu yang jauh.

“Tugas kami sebagai pemimpin adalah mengelolanya dengan bijak agar tidak menjadi besar sehingga mengganggu apa yang dikerjasamakan dengan baik selama ini,” katanya.

Bagi meningkatkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara, Susilo berkata kedua-dua negara perlu mencari peluang-peluang sejajar dengan peranan Asia termasuk Asia Tenggara, sebagai kuasa ekonomi global yang baru.

Susilo berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan di kawasan pertumbuhan BIMP (Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina) dan IMT-GT (Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand).

Najib pula berharap lebih ramai pelabur Indonesia melabur di Malaysia serta pelabur kedua-dua negara boleh melabur di Indonesia yang mempunyai banyak kawasan dan tenaga kerja bagi menjamin jaminan bekalan makanan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN