Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 13/11/2009
Malaysia komited jayakan EU-ASEAN FTA

Malaysia komited jayakan EU-ASEAN FTA

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Malaysia menyatakan komitmen untuk menjayakan Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah - ASEAN (EU-ASEAN FTA) di sebalik pelbagai masalah yang timbul terutama membabitkan isu penafian hak asasi di Myanmar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap segala perbezaan pendapat tidak akan membantut dan menjadi penghalang untuk merealisasikan kerjasama itu yang sebenarnya akan memanfaatkan kedua-dua pihak yang terlibat.

Menurut beliau, ASEAN mengakui perbincangan EU-ASEAN FTA telah terhenti akibat daripada perbezaan budaya, jurang pemerintahan, ketelusan dan perbezaan pelaksanaan kaedah perundingan antara negara-negara terlibat serta yang lebih memburukkan keadaan ialah krisis di Myanmar.

“EU telah menyuarakan pendirian bahawa meneruskan rundingan dengan ASEAN seperti merestui tindakan sebahagian anggotanya yang tidak mengamalkan prinsip demokrasi yang betul dan telus.

“Malah, saya difahamkan United Kingdom juga menyatakan pendirian bahawa Myanmar tidak sepatutnya mendapat manfaat daripada EU-ASEAN FTA ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Forum Malaysia - Eropah (MEF) di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat dan Penaung MEF, Tan Sri Rafidah Aziz dan Duta Sweden ke negara ini yang juga mewakili Presiden EU, Helena Sangeland.

Dalam perkara ini, Najib berkata, pendirian ASEAN adalah akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kekurangan tersebut tidak menjejaskan kelancaran rundingan dan seterusnya menjayakan kerjasama itu.

“Malaysia sebagai salah sebuah negara pengasas ASEAN akan berusaha sebaik mungkin memastikan kejayaannya dan saya berharap akan mendapat sokongan dan motivasi sepenuhnya daripada kedua-dua pihak iaitu EU dan ASEAN untuk menyambung perbincangan secepat mungkin.

“Kita juga akan memainkan peranan yang lebih untuk menggerakkan perundingan yang terbantut dan mengharapkan agar ia menjadi pemangkin untuk membina semula kekayaan yang telah hilang dan sepanjang dunia menghadapi krisis kemelesetan ekonomi,” katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN