|
ALOR SETAR 12 Nov. — Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif menghadiri sidang DUN negeri itu yang dijadualkan Selasa ini.
Katanya, walaupun Speaker DUN Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai ADUN namun Barisan Nasional (BN) memegang prinsip apa yang diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.
"Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa speaker itu saya tak tahu,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung di sini.
Muhyiddin berkata Abu Hasan harus menghadiri sidang DUN itu bagi mengetahui apa yang sedang berlaku kerana beliau masih seorang Adun sehinggalah mahkamah memutuskan kedudukannya kelak.
- BERNAMA
IKLAN@UTUSAN
|