Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 12/11/2009
Tang Chong cabar pengganti adakan debat

Tang Chong cabar pengganti adakan debat

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Bekas Pengerusi Biro Hal Ehwal Undang-undang MCA, Datuk Leong Tang Chong mencabar penggantinya, Lim Hong Sang berdebat secara terbuka berhubung isu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kedua parti itu pada 28 November ini sama ada sah atau sebaliknya.

Tang Chong berkata, debat itu bertujuan membuktikan mesyuarat tersebut selaras dengan perlembagaan parti dan bukan seperti yang didakwa oleh penggantinya itu.

"Hong Sang lebih baik menerima cabaran saya. Jika tidak, jangan cuba mengarut lagi," tegas beliau pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Beliau menegaskan, resolusi pertama EGM kedua iaitu membuang undi dengan mengadakan pemilihan baru tidak melanggar perlembagaan parti itu.

Menurutnya, hanya resolusi yang meminta memecat atau membubarkan ahli Jawatankuasa Pusat (CC) memerlukan sekurang-kurangnya dua pertiga undi perwakilan.

"Resolusi pertama pada EGM kedua ini tidak meminta CC dibubarkan, maka ia hanya perlu undi daripada 15 ahli (satu pertiga) untuk meluluskannya dan bukan daripada 29 ahli (dua pertiga).

"Ini bermakna 16 ahli CC MCA mempunyai hak untuk mengadakan EGM kedua ini," jela beliau.

Dalam pada itu, Tang Chong menyifatkan Presiden parti itu, Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai pilih kasih.

Dakwa beliau, ini kerana Tee Keat pernah berhasrat untuk mengadakan EGM bagi pemilihan baru dalam mesyuarat CC pada 15 Oktober lalu.

Beliau berkata, resolusi Tee Keat dalam EGM pada masa itu dianggap terlalu drastik kerana beliau mahu membubarkan jawatankuasa pusat (CC) dan mengadakan pemilihan baru.

"Tee Keat telah menggunakan perkataan 'membubarkan' dalam resolusi itu, maka pada masa itu, saya terus menasihatinya supaya tidak mengadakan EGM itu kerana ia memerlukan persetujuan daripada 29 ahli CC,'' katanya.

Pada masa sama, Tang Chong memberitahu, para perwakilan pusat MCA merupakan golongan yang berkuasa memutuskan sama ada EGM boleh diadakan atau sebaliknya.

"Jika pemilihan baru adalah suara hati para perwakilan, ahli CC harus menghormati keputusan mereka," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN