|
KUALA LUMPUR 11 Nov. - Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kedua MCA tidak bermotifkan jawatan sebaliknya untuk memastikan kredibiliti dan maruah parti dikembalikan bagi menarik semula sokongan kaum Cina.
Penjelasan itu dibuat Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi menjawab pertanyaan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sama ada Menteri Kesihatan itu mahukan jawatan nombor dua parti melalui EGM yang dijadual pada 28 November ini.
"Saya ingin mengulangi bahawa saya tidak mengejar jawatan dalam parti, ia bukan perkara penting buat saya.
"Apa yang saya mahukan adalah sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan kita mahukan pemimpin yang menghormati perlembagaan parti," katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen hari ini.
Soi Lek pada sidang akhbar di Wisma MCA hari ini menyatakan kesediaan untuk menyerahkan jawatan Timbalan Presiden kepada Tiong Lai demi menyelesaikan konflik dalaman parti itu.
"Tetapi tolong katakan secara jelas kepada saya bahawa 'saya, Liow Tiong Lai mahukan jawatan anda (Timbalan Presiden)' itu," kata Soi Lek.
Sementara itu, Tiong Lai menggesa pemimpin MCA pusat menghormati EGM kali kedua itu kerana ia adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah dalaman parti.
Katanya, EGM itu adalah sah berdasarkan Artikel 27 Perlembagaan MCA yang menyatakan ia boleh diadakan bagi membincangkan apa- apa permasalahan parti.
"Orang lain tidak perlu khuatir sama ada EGM itu sah ataupun tidak kerana ia adalah sah dan perwakilan mempunyai hak untuk hadir menyatakan pendapat mereka.
"Mana-mana pihak juga tidak berhak menyekat EGM daripada membincangkan apa jua isu yang dibangkitkan termasuk dua usul resolusi berkaitan mandat mengadakan pemilihan baru serta membatalkan pelantikan atau penyingkiran anggota jawatankuasa pusat atau sebarang janji yang telah dibuat oleh Presiden (Datuk Seri Ong Tee Keat)," tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong membidas tindakan segelintir pihak yang cuba menakutkan perwakilan selain menimbulkan kekeliruan tentang EGM kali kedua itu.
"Kalau ada sesiapa yang menakut-nakutkan perwakilan dengan mengatakan tidak guna menghadiri satu EGM yang tidak sah, itu cuma menggambarkan realiti bahawa mereka tidak berani berdepan dengan perwakilan," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|