Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 12/11/2009
Soi Lek sedia serah jawatan

Soi Lek sedia serah jawatan

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sedia menyerahkan jawatan Timbalan Presiden MCA kepada Datuk Seri Liow Tiong Lai demi menyelesaikan konflik dalaman parti itu.

Bekas Menteri Kesihatan itu memberitahu, beliau akan berbuat demikian jika itu yang diingini oleh Tiong Lai yang sebelum ini sempat menjadi Timbalan Presiden selama 19 hari.

Bagaimanapun, tegasnya, Naib Presiden MCA itu perlu membuat kenyataan secara terbuka bahawa beliau mahukan jawatan tersebut.

“Kalau ini (serah jawatan) boleh menamatkan krisis, memastikan kestabilan dan menyatukan MCA, saya rasa parti adalah lebih penting berbanding Chua Soi Lek (saya).

“Tetapi tolong katakan secara jelas kepada saya bahawa ‘saya, Liow Tiong Lai mahukan jawatan anda (Timbalan Presiden)’ itu,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Beliau yang ditemani seorang anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, Loh Seng Kok mengadakan sidang akhbar itu bagi menjawab dakwaan bekas Pengerusi Biro Hal-Ehwal Undang-undang MCA, Datuk Leong Tang Chong bahawa Soi Lek sengaja mengelirukan anggota CC MCA dengan surat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tang Chong yang sudah dipecat dalam kenyataannya kepada media semalam mendakwa Soi Lek bukan Timbalan Presiden parti yang sah.

Beliau mendakwa, Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat sebenarnya tidak menunjukkan isi sebenar kandungan surat berkenaan kepada anggota CC MCA yang mengadakan mesyuarat Selasa lalu.

Menurut Soi Lek, kenyataan Tang Chong adalah dakwaan yang serius dan tidak berasas kerana beliau secara terbuka telah memaklumkan isi kandungan surat ROS kepada MCA pada 11 Oktober lalu.

Beliau berkata, surat itu kemudian dibaca oleh Tee Keat dan Setiausaha Agung parti, Datuk Wong Foon Meng dalam mesyuarat CC pada 3 November lalu.

Selepas itu menurutnya, keputusan telah dibuat oleh anggota CC MCA yang menyaksikan 22 orang menyokong untuk menerima keputusan ROS, 12 orang menentang manakala empat orang termasuk beliau tidak mengundi.

“Tiong Lai pula mengundi menyokong dirinya sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu Soi Lek mendedahkan, beliau ada berjumpa tiga kali dan dihubungi sekali oleh Tiong Lai sejak berlangsungnya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober lalu memintanya menjalinkan kerjasama.

Tambahnya, beliau juga ada menasihatkan Tiong Lai supaya tidak mengisi kekosongan kerusi Timbalan Presiden kerana beliau sudah menulis surat kepada ROS meminta penjelasan mengenai kedudukannya.

Tujuan nasihat itu, katanya, ialah supaya Tiong Lai tidak mendapat malu sekiranya ROS memutuskan tiada kekosongan bagi jawatan Timbalan Presiden.

“Tiong Lai juga mahukan orang saya menyokongnya sebagai Presiden MCA dengan alasan Presiden yang ada sekarang sudah tidak boleh pakai lagi,” katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN