Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 12/11/2009
‘Percakaran’ Zulkifli, Sivarasa umpama drama

‘Percakaran’ Zulkifli, Sivarasa umpama drama

KUALA LUMPUR 11 Nov. – ‘Percakaran’ terbuka melalui media membabitkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa dan Ahli Parlimen PKR kawasan Kulim Bandar Baharu sejak dua hari lalu umpama sebuah drama.

Selepas cabar mencabar melalui media dan kelihatan seperti sudah ‘berpatah arang berkerat rotan’ hari ini kedua-duanya dilihat berpeluk-pelukan di lobi Parlimen.

Dalam masa yang singkat juga Zulkifli dan Sivarasa mendakwa segalanya telah selesai dan dibuktikan melalui perbuatan berpeluk-pelukan itu.

“Tidak ada masalah. Kami boleh bercium. Tidak ada masalah,” kata Zulkifli sambil memeluk dan melagakan pipi kanan dan kirinya dengan Sivarasa di hadapan petugas media yang sedang mengambil kenyataan Naib Presiden PKR itu.

Zulkifli yang ditemui sebelum itu berkata, tujuan beliau mencabar Sivarasa meletak jawatan untuk menghentikan polemik yang tercetus berikutan kenyataan beliau.

Katanya, cabaran itu juga tidak perlu ditarik balik kerana segala-galanya sudah selesai sekarang.

Zulkifli mendakwa cabaran beliau itu adalah satu bentuk politik baru yang dibawa pakatan pembangkang di mana semua orang boleh mempunyai perbezaan pendapat namun akhirnya diselesaikan melalui rundingan.

“Ini adalah politik baru yang kami bawa, semasa di New York baru-baru ini saya lihat ada pemimpin Demokrat mengkritik Presiden (Barack Obama), Presiden terima dengan hati terbuka kerana orang Amerika Syarikat (AS) sudah terbiasa dengan cara itu.

“Kita dalam proses mendidik rakyat bahawa perbezaan pendapat diterima, ia mungkin mengambil masa setahun atau 10 tahun namun kita akan lakukan,” katanya.

Sementara itu, Sivarasa pula menyatakan isu tersebut telah selesai selepas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan.

Beliau juga menepis pelbagai soalan yang diajukan kepadanya sambil mengulangi jawapan sama bahawa masalah itu telah di selesaikan.

“Isu letak jawatan tak timbul langsung, Anwar telah mengeluarkan arahan dan semua pemimpin perlu ikut.

“Kalau ada pendapat yang berbeza ia perlu diselesaikan secara tertutup,” katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN