Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 12/11/2009
PKR risau gelombang perubahan

PKR risau gelombang perubahan

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini goyah berikutan penerimaan sebahagian besar rakyat terhadap dasar-dasar yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kebimbangan mengenainya dapat dilihat apabila PKR terpaksa menyusun strategi untuk menyerang Perdana Menteri walaupun keadaan parti itu sendiri kucar-kacir.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Noh Omar berkata, PKR sudah tiada isu lain untuk diketengahkan dan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula goyang dengan perubahan yang dibawa oleh Najib.

"Kepimpinan Perdana Menteri mula diterima malah rakyat sudah mula sedar dan tahu siapa Anwar serta agenda politik PKR yang sebenarnya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Majlis Tertinggi PKR bermesyuarat dengan dipengerusikan oleh Anwar bagi membincangkan kaedah dan strategi baru untuk melancarkan serangan ke atas Perdana Menteri.

Noh berkata, tembelang PKR mula pecah sehingga ada kalangan ahli parti itu bertindak keluar parti sekali gus menggambarkan pergolakan dalam parti tersebut.

Beliau berkata, rakyat lebih mengetahui apa yang terjadi dan ia dapat dibuktikan dengan keadaan negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang yang tidak stabil.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, perubahan yang dibawa Perdana Menteri membuka mata rakyat yang selama ini hanyut dalam propaganda PKR.

Menurutnya, rakyat menyedari perkara ini dan mula menyokong Perdana Menteri yang membawa gagasan 1Malaysia demi perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

"Agenda PKR hanya mendatangkan kemudaratan dan perpecahan di kalangan orang Melayu dan bukannya keamanan dan kestabilan,'' katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN