|
PETALING JAYA 11 Nov. – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hanya dikenakan hukuman ‘ringan’ di sebalik tindakan liar dan ganas para penyokongnya termasuk membakar stadium serta mencederakan pegawai bertugas sambil disaksikan jutaan penonton di seluruh negara.
Hukuman RM50,000 yang dikenakan ke atas Kafa ekoran insiden yang dicetuskan penyokongnya pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan Sabtu lalu dianggap tidak setimpal dengan apa yang berlaku termasuk kemusnahan harta benda awam.
Masyarakat umum di seluruh negara turut menyaksikan tingkah laku tidak bertamadun itu di mana penyokong Kelantan membaling bunga api dan mercun ke padang sehingga mencederakan pegawai pertandingan.
Mereka turut merosakkan harta benda di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan kerugian dianggarkan RM138,150.
Tetapi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mendapati Kafa bersalah dalam ‘perbicaraan’ selama tiga jam di Wisma FAM hari ini berpendapat kesalahan itu hanya memadai dengan dikenakan hukuman denda RM50,000 sahaja.
Timbalan Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Mohd. Taufek Abd. Razak memberitahu, Kafa didenda selepas didapati bersalah terhadap tiga tuduhan yang dibentangkan berdasarkan kelakuan penyokongnya ketika perlawanan itu.
Bagi tuduhan pertama katanya, penyokong Kelantan didakwa membaling bunga api dan mercun memasuki padang dan badan induk bola sepak Kelantan itu didenda RM5,000.
“Kafa juga didenda RM20,000 untuk tuduhan kedua kerana penyokong-penyokongnya membaling objek sehingga terkena dan menyebabkan kecederaan kepada pegawai pertandingan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Beliau berkata, Bagi tuduhan ketiga membabitkan dakwaan merosakkan merosakkan harta benda seperti kerusi dan pintu pagar stadium, ia dikenakan denda RM25,000.
Sabtu lalu, penyokong-penyokong negeri Cik Siti Wan Kembang itu bertindak membaling objek termasuk mercun ke dalam padang ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 yang menyaksikan Kelantan kalah kepada Negeri Sembilan 1-3.
Malah, tempat duduk di kawasan penyokong Kelantan juga dibakar di beberapa bahagian yang mana kejadian itu disaksikan oleh jutaan rakyat negara ini termasuk kanak-kanak.
Ketika diajukan persoalan kenapa penyokong pasukan itu tidak dikenakan hukuman, Mohd. Taufek berkata: “Kami tidak mahu dilihat sebagai bersikap dendam dengan penyokong Kelantan.”
Malah katanya, FAM telah memberikan pengajaran terhadap penyokong negeri itu apabila menggantung permainan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu April lalu ketika Liga Super dan separuh akhir Piala FA.
“Selepas itu, kami nampak dan percaya insiden itu tidak akan berulang, lalu kami tarik balik penggantungan (selepas sebulan Kelantan diarahkan bermain di Stadium Nasional, Bukit Jalil).”
Mengenai angka denda yang tidak setimpal malah jauh lebih rendah berbanding kerugian akibat kerosakan harta benda stadium, beliau berkata: “Kami tidak boleh menyamakan denda dengan nilai itu kerana perlu berlaku adil kepada pasukan berkenaan.
“Yang melakukan perkara itu hanyalah dari kalangan segelintir penyokong mereka sedangkan majoritinya tidak begitu.”
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|