Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
UTARA

ARKIB : 11/11/2009
Tanah penduduk 'dirampas'

Tanah penduduk 'dirampas'


MOHSIN Yusoff (kiri) menerima memorandum bantahan daripada Md. Razak Daud sambil diperhatikan oleh penduduk kampung di Wang Kelian, Perlis, semalam.


PADANG BESAR 10 Nov. - Penduduk Kampung Wang Kelian di sini kecewa kerana pusat aktiviti rakyat yang mereka wujudkan sejak 43 tahun lalu di kampung itu 'dirampas' tanpa pengetahuan mereka.

Mereka menganggap tanah itu 'dirampas' kerana pusat aktiviti itu yang turut mempunyai padang bola sepak, gelanggang sepak takraw dan gelanggang bola tampar kini dimiliki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara bergeran.

Rata-rata mereka kecewa kerana pusat riadah yang dibuka selepas menebang balak, memikul tanah menggunakan guni serta meratakan kawasan itu menggunakan cangkul pada tahun 1966 untuk kegunaan masyarakat, akhirnya kini milik PDRM sejak 19 tahun lepas.

Rahsia itu terbongkar apabila kira-kira seminggu lalu penduduk mendapati pihak kontraktor yang dilantik PDRM memulakan kerja-kerja membersih kawasan dan membina pagar mengelilingi tanah seluas 0.8 hektar itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wang Kelian, Md. Razak Daud memberitahu, ekoran kerja-kerja tersebut, semakan mendapati tanah itu dimiliki PDRM mulai tahun 1990.

"Sejak tahun 1966 kami membuka tanah di sini. Penduduk menebang pokok besar kemudian membakarnya. Selepas itu kami menggunakan cangkul untuk meratakan kawasan, diikuti memunggah tanah yang dipikul dalam guna untuk menyediakan pusat aktiviti penduduk.

"Sudah lebih 40 tahun kawasan ini kami gunakan sebagai pusat aktiviti masyarakat. Apabila ada program kami buat di sini. Lagipun lokasinya berdepan dengan masjid yang lebih memudahkan masyarakat Islam melaksanakan program," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sehubungan itu, Md. Razak yang juga Ketua UMNO Cawangan Wang Kelian meminta kerajaan negeri lebih prihatin terhadap kepentingan penduduk sambil menepati slogan kepentingan rakyat mesti didahulukan.

"Kami harap kerajaan lebih peka terhadap tuntutan rakyat. Kami masih ingat tahun 1966 semasa menyediakan tempat ini, kami memasang lampu gasolin untuk menerangi kawasan semasa kerja-kerja meratakan tanah waktu malam," ujarnya.

Ketua Pemuda UMNO Cawangan Wang Kelian, Abdul Halim Che Izham pula mendesak kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu supaya lebih peka terhadap kehendak semasa masyrakat di situ.

"Kami berharap kerajaan dapat menggantikan lokasi lain buat PDRM untuk mengekalkan kawasan itu sebagai pusat aktiviti penduduk.

"Kami orang kampung tidak mampu melantik peguam bagi mendapatkan tanah itu. Diharap kerajaan bersimpati kepada kami," ujarnya sambil disokong oleh kira-kira 30 orang penduduk yang hadir di situ.

Ketika Abdul Halim menceritakan kegigihan masyarakat membuka kawasan tersebut tahun 1966, wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia dikejutkan pula dengan kehadiran penduduk warga emas, Man Hassan, 74.

Sambil menangis, warga emas itu menyuarakan kekecewaannya kepada Ketua Pemuda UMNO Cawangan Wang Kelian, Ketua UMNO Cawangan Wang Kelian dan juga kepada Ketua Pemuda UMNO Negeri, Mohsin Yusoff yang berada di situ.

"Kalau tanah ini diambil oleh orang lain, mana lagi tempat anak cucu kami untuk bermain? Pak cik sudah tua. Harap padang bola ini diwarisi anak cucu kami.

"Tolonglah... tolonglah sangat-sangat," ujarnya sambil menangis dan memeluk Ketua Pemuda UMNO Perlis.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN