Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 11/11/2009
SPRM panggil semua wakil rakyat

SPRM panggil semua wakil rakyat

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semua wakil rakyat di negara ini untuk menerangkan secara jelas garis panduan berhubung apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan dalam sistem penyaluran peruntukan kerajaan kepada rakyat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, taklimat itu akan diadakan secara berperingkat-peringkat kepada setiap Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan bila sesi taklimat itu akan dimulakan.

Pada masa yang sama, katanya, setiap wakil rakyat sepatutnya sudah tahu perkara-perkara yang boleh dikaitkan dengan jenayah rasuah menurut tafsiran undang-undang yang sedia ada.

“Garis panduan yang lebih jelas akan diberikan kepada setiap wakil rakyat dalam pertemuan itu yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Bagaimanapun, kita yakin semua wakil rakyat sudah tahu apa yang salah dan apa yang boleh dibuat dalam tugas mereka ketika menguruskan wang kerajaan, kerana ini sudah termaktub dalam undang-undang,” jelasnya.

Beliau diminta mengulas saranan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mahu SPRM mengeluarkan garis panduan yang jelas bagi membolehkan seseorang individu itu mengetahui keperluan mereka sebagai wakil rakyat.

Perdana Menteri semalam turut menyambut baik penubuhan pasukan khas suruhanjaya itu dalam memantau kegiatan penyelewengan peruntukan Ahli Parlimen dan ADUN yang diumumkan SPRM kelmarin.

SPRM kelmarin mengumumkan penubuhan satu pasukan khas bagi memantau dan mengatasi kegiatan penyelewengan peruntukan Ahli Parlimen dan ADUN daripada terus berlaku.

Pasukan khas yang dikendalikan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan itu akan menjalankan kajian menyeluruh berhubung peraturan, sistem, prosedur serta kawalan dalaman dalam perbelanjaan peruntukan wakil rakyat.

Menurut Abu Kassim, taklimat itu melibatkan sesi penerangan mengenai kesalahan jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan-penyelewengan lain yang ditegah oleh undang-undang.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas berhubung 41 fail siasatan salah laku dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan SPRM setakat ini, Abu Kassim berkata, cukuplah apa yang sudah dimaklumkan.

“Setakat ini, itu sahaja yang boleh diberitahu,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN