Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 10/11/2009
MSC tingkat perolehan RM21.8 bilion tahun lalu

MSC tingkat perolehan RM21.8 bilion tahun lalu


Najib Tun Razak bersama peserta-peserta program MyKasih pada majlis perasmian MyKasih
di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.


PUTRAJAYA 9 Nov. - Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia meningkatkan perolehannya kepada RM21.8 bilion tahun lalu meskipun berdepan dengan kesan kemelesetan ekonomi dunia bagi tempoh suku keempat tahun itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak 69 peratus daripada keseluruhan perolehan itu disumbangkan oleh syarikat-syarikat tempatan berstatus MSC.

Katanya, perolehan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding 2007 iaitu RM17 bilion.

"Hari ini, syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan seperti Pulse, Jobstreet, Synamatics dan Symphony BPO Outsourcing menjadi kebanggaan kepada Malaysia melalui kejayaan mereka di luar negara.

"Syarikat-syarikat berstatus MSC telah menyumbangkan sebanyak RM7.09 bilion melalui eksport pada 2008 dan ini menunjukkan industri ICT kita berkembang maju,"katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan (ICM) MSC Malaysia ke-21 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Ia sempena Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC Malaysia ke-12 yang berlangsung di sini sehingga esok.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pada masa ini terdapat sejumlah 2,000 syarikat tempatan berstatus MSC dan hampir 4,000 hak milik intelektual telah didaftarkan.

Jelas beliau, MSC kini berjaya mewujudkan 92,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan yakin sasaran menyediakan sejumlah 100,000 pekerjaan dapat dicapai tahun depan.

"Dalam mesyuarat itu, saya juga menekankan kepada kementerian dan agensi kerajaan bagi menggunakan aplikasi penyelesaian yang dibangunkan syarikat ICT tempatan.

"Saya juga mahu kerajaan menggunakan sepenuhnya alat elektronik seperti e-mel, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan jaringan sosial untuk berhubung dengan rakyat seperti menggunakan SMS bagi amaran tentang banjir atau kemungkinan tanah runtuh,"katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, MSC berjaya memberikan nilai tambah kepada pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 1.2 peratus pada 2007 dan diharap meningkatkan tiga kali ganda pada tahun 2020.

"Jadi, kita perlu memastikan perancangan kita untuk membina ikon global daripada MSC kekal pada landasannya dan memastikan produk mereka mencapai standard global dengan kos yang kompetitif.

"Ikon-ikon global itu bukan sahaja perlu baik bagi penjenamaan negara malah memberikan kebanggaan serta inspirasi kepada rakyat kita untuk pencipta inovasi, bukan sekadar pengikut," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN