Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 10/11/2009
PM: Keluarkan garis panduan

PM: Keluarkan garis panduan

PUTRAJAYA 9 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan satu garis panduan yang jelas berhubung apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh wakil rakyat dalam penyaluran peruntukan kerajaan untuk rakyat.

Sambil menyambut baik penubuhan pasukan khas suruhanjaya itu dalam memantau kegiatan penyelewengan peruntukan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Perdana Menteri menegaskan, garis panduan itu membolehkan seseorang individu mengetahui keperluan mereka sebagai wakil rakyat.

"Sebab sebagai Ahli Parlimen, mereka dituntut untuk menyelesaikan pelbagai masalah dan tuntutan rakyat seperti bayaran sekolah, bayaran kesihatan, kenduri-kendara, masalah kesihatan dan pelbagai lagi.

"Tuntutan seperti ini menjadikan mereka terpaksa kadang-kadang melihat bagaimana peruntukan kerajaan boleh digunakan atau tidak boleh digunakan.

"Ini adalah sesuatu yang perlu diperjelaskan SPRM kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ke-21 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Satu pasukan khas ditubuhkan SPRM bagi memantau dan mengatasi kegiatan penyelewengan peruntukan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada terus berlaku.

Ibu pejabat SPRM dalam satu kenyataan semalam memberitahu, pasukan khas yang dikendalikan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan itu akan menjalankan kajian menyeluruh berhubung peraturan, sistem, prosedur serta kawalan dalaman dalam perbelanjaan peruntukan ADUN dan Ahli Parlimen.

"Kajian itu dibuat bagi menutup peluang berlakunya jenayah rasuah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, tindakan tersebut adalah selari dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 7(c) Akta SPRM.

SPRM juga telah mengarahkan Unit Pendidikan Masyarakat SPRM negeri supaya mengadakan sesi taklimat khas kepada semua wakil rakyat di negeri masing-masing bagi menjelaskan segala kesalahan jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang ditegah undang-undang.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN