|
KUCHING 9 Nov. - Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Abang Yusuf Puteh, 74, meninggal dunia akibat sakit buah pinggang di Pusat Perubatan Pakar Normah pada jam 5.20 petang ini.
Allahyarham yang juga pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Kelaka selama sepenggal (1987) meninggalkan seorang balu, Datin Rugayah Majid, tiga anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan selain seorang cucu.
Allahyarham yang berasal dari Saratok pernah berkhidmat selama 24 tahun dalam perkhidmatan awam Sarawak sehingga menjawat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak pada penghujung tahun 70-an sehingga 1985.
Habib Mahmud, rakan karib kepada Allahyarham berkata, sepanjang pembabitan Allahyarham dalam politik dan kerajaan Sarawak, banyak sumbangan yang telah beliau berikan.
"Allahyarham merupakan seorang yang bijak sejak di bangku sekolah lagi dan beliau juga banyak menulis buku politik serta beberapa lagi karya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini. - Bernama
IKLAN@UTUSAN
|