VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 08/11/2009

Lelangit lembut


LELANGIT lembut memainkan peranan penting dalam proses menelan makanan dan pertuturan.


MUNGKIN agak pelik bunyinya, apatah istilah seperti 'lelangit lembut' diucapkan. Bahkan, ada di antara kita yang tidak menyedari bahawa ia adalah struktur yang ada pada diri kita sendiri.

Istilah lelangit atau langit-langit merujuk kepada suatu yang terletak di bahagian atas.

Dalam kaviti oral atau rongga mulut kita, terdapat bahagian sebelah atasnya yang kita panggil sebagai lelangit.

Masyarakat umum mungkin menganggap lelangit ialah bahagian hadapan struktur bertulang yang dilingkungi oleh barisan gigi.

Dalam istilah anatomi, bahagian yang kita rujuk sebagai lelangit itu sebenarnya hanyalah sebahagian (50 peratus) daripada keseluruhan struktur lelangit.

Lelangit terbahagi kepada dua iaitu lelangit keras (hard palate) dan lelangit lembut (soft palate).

Bahagian yang kita kenali sebagai lelangit itu ialah lelangit keras, yang sebenarnya kurang fungsi fisiologinya berbanding dengan lelangit lembut.

Lelangit lembut ialah bahagian yang terletak di bahagian belakang lelangit keras.

Berbeza dengan lelangit keras yang terbentuk daripada tulang maksila (maxilla), lelangit lembut terbina daripada struktur otot-otot yang memainkan fungsi-fungsi tertentu yang amat penting bagi membantu menjadikan proses-proses dalam kehidupan manusia berjalan dengan sempurna.

l Fungsi Lelangit

Sekurang-kurangnya terdapat lima otot yang membentuk lelangit lembut.

Otot-otot tersebut ialah tensor veli palatini, levator veli palatini, musculus uvulae, palatoglossus dan palatopharyngeus.

Otot-otot ini dikawal oleh saraf-saraf tertentu bagi menjalankan fungsi-fungsi tertentu.

Selaras dengan kedudukannya yang terletak sebagai sempadan nasofarinks (belakang hidung) dan orofarinks (belakang tekak), lelangit lembut ini memainkan peranan yang amat penting terutama sekali bagi proses menelan dan percakapan.

Sewaktu menelan, lelangit lembut akan merapat ke belakang sehingga bersentuh dengan dinding farinks belakang.

Ia akan menyebabkan sempadan nasofarinks dan orofarinks tertutup. Ini amat penting bagi mengelakkan makanan naik dan masuk ke nasofarinks lalu ke rongga hidung.

Perjalanan sehala ini akan memastikan makanan yang ditelan tiada pilihan lain selain untuk turun ke bawah terus ke esofagus.

Sewaktu proses percakapan pula, sebahagian udara perlu keluar melalui hidung namun jumlahnya haruslah dalam kuantiti tertentu yang menyedapkan telinga mendengar.

Pengawalan jumlah udara yang keluar ini juga dikawal sebahagiannya oleh keluasan bukaan antara lelangit lembut dengan dinding belakang farinks.

Bukaan yang terlalu luas akan menyebabkan bunyi menjadi sengau (hipernasaliti) seperti yang terjadi dalam kes rekahan lelangit (cleft palate).

Otot-otot tensor dan levator palatini pula bertanggungjawab membuka tiub Eustachio bagi mengimbangkan tekanan yang terdapat di dalam telinga tengah.

Disebabkan itulah sewaktu kita menghadapi masalah perubahan tekanan dalam telinga, seperti yang berlaku apabila kita berada dalam pesawat yang sedang mendarat, kita digalakkan menelan air liur.

Dengan cara ini, otot-otot tensor dan levator palatini ini akan mengalami kontraksi dan seterusnya membuka tiub Eustachio yang akhirnya menyebabkan tekanan dalam telinga tengah dapat diseimbangkan dengan tekanan di luar.

Lelangit lembut juga mempunyai tunas-tunas rasa (seperti yang terdapat pada lidah) dan kelenjar mukus yang sedikit sebanyak membantu proses pemakanan dan pencernaan.

l Masalah lelangit lembut

Jika lelangit lembut tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai pengawal sempadan antara nasofarinks dan orofarinks, maka adakalanya cebisan-cebisan makanan akan termasuk ke dalam tempat yang tidak sepatutnya.

Keadaan ini dikenali sebagai regurgitasi makanan. Selain itu, resonans bunyi yang dihasilkan sewaktu percakapan mungkin kurang sedap untuk didengar akibat terlebih udara yang keluar melalui hidung apabila lelangit lembut tidak dapat mengawal bukaan yang optimum.

Masalah untuk membuka tiub Eustachio juga akan mengakibatkan barotrauma telinga (kecederaan telinga akibat tekanan) sewaktu kita menaiki kapal terbang atau menyelam di dasar laut.

Gangguan fungsi lelangit lembut ini boleh berlaku akibat masalah saraf, terutamanya saraf kranial ke-10 (saraf vagus), keadaan lelangit yang mengalami rekahan sejak lahir yang mengganggu kedudukan otot-otot pada lelangit lembut.

Selain itu, struktur lelangit lembut yang terlalu kuat bergetar sewaktu tidur akan menghasilkan dengkuran yang kuat.

l Rawatan

Apabila anda atau sesiapa yang dikenali mempunyai gejala seperti yang dinyatakan di atas, iaitu regurgitasi makanan sewaktu menelan, hipernasaliti, masalah tekanan dalam telinga yang tidak dapat diseimbangkan dengan menelan air liur, atau berdengkur, ia mungkin berpunca daripada masalah lelangit lembut.

Rawatan yang sesuai akan dicadangkan oleh doktor, bergantung kepada masalah yang dihadapi.

Contohnya, bagi masalah yang melibatkan saraf, kaedah menelan dengan betul boleh membantu mengurangkan regurgitasi.

Masalah rekahan lelangit pula perlu diperbetulkan melalui pembedahan dan rawatan bagi masalah ini perlu dimulakan sejak dari awal lagi iaitu ketika kanak-kanak masih kecil atau sebelum mencapai usia dewasa, bergantung kepada tahap rekahan yang dialami.

Ini adalah penting bagi mengelakkan keadaan menjadi sukar dipulihkan dan prognosis menjadi tidak begitu baik bagi pesakit.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.