|
KUALA LUMPUR 6 Nov. - Permohonan semakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai wakil rakyat Kota Siputeh akan didengar pada 12 November ini.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin ketika kes disebut di hadapannya hari ini.
Hakim Alizatul sebelum itu turut mempersoalkan kegagalan peguam Abdul Isa, Sulaiman Abdullah memfailkan sijil perakuan segera bagi membolehkan kes itu didengar lebih awal.
Ini kerana beliau dimaklumkan, sidang DUN akan berlangsung selama tiga hari bermula 17 November ini.
Sulaiman bagaimanapun memohon maaf kerana tidak menyertakan dokumen tersebut.
Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Abu Hassan pula menarik perhatian mahkamah kepada sepucuk surat Abdul Isa yang diterima anak guamnya semalam.
Menurut surat tersebut, Abdul Isa tidak mengiktiraf Abu Hassan sebagai ADUN Kota Siputeh.
Oleh itu, Mohd. Hafarizam memohon supaya kes itu diputuskan sebelum sidang DUN bermula atau Abdul Isa diminta memberi aku janji bahawa kerusi Kota Siputeh tidak dikosongkan sehingga mahkamah membuat keputusan.
Beliau juga mengesyorkan Abu Hassan tidak dihalang daripada menghadiri sidang berkenaan, jika kes gagal diselesaikan sebelum sidang bermula.
Sulaiman pula berpendapat memandangkan kerusi tersebut telah dikosongkan (ekoran surat Speaker itu) maka pihaknya memohon supaya pilihan raya diadakan.
Hakim Alizatul mencelah: ''Bolehkah anda mencabar keputusan SPR selaku responden kedua yang mengatakan kerusi tersebut tidak dikosongkan? Sekiranya permohonan ini tidak didengar sebelum 17 November, maka ia (permohonan) merupakan suatu perkara yang sudah menjadi akademik.''
Kedua-dua pihak kemudian bersetuju agar permohonan itu didengar pada 12 November ini.
Kemelut kerusi DUN Kota Siputeh timbul apabila Abdul Isa mahu Abu Hassan mengosongkan kerusi itu berikutan kegagalannya menghadiri sidang dua kali berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos lalu tanpa kebenaran.
SPR bagaimanapun memutuskan pada 1 September lalu bahawa tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih wakil rakyatnya.
Berikutan itu, Abdul Isa memfailkan permohonan pada 1 Oktober lalu untuk mencabar keputusan SPR.
Beliau menamakan Abu Hassan daripada Barisan Nasional (BN) dan SPR sebagai responden pertama dan kedua.
Abdul Isa memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi wakil rakyat Kota Siputeh ekoran kegagalannya menghadiri dua persidangan secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.
Turut dituntut perisytiharan agar kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil, selain ganti rugi, kos dan faedah lain.
ends
IKLAN@UTUSAN
|