Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 07/11/2009
1,780 mangsa banjir dipindah

1,780 mangsa banjir dipindah


SEBAHAGIAN mangsa banjir menikmati makanan ringan yang disediakan selepas ditempatkan di Balai Raya Kampung Pelandang, Hulu Terengganu, semalam. - UTUSAN/Fauzi Baharudin


KUALA TERENGGANU 6 Nov. - Seramai 1,780 orang dari 384 keluarga mangsa banjir di negeri ini mula dipindahkan berikutan terdapat kawasan telah dinaiki air ekoran hujan lebat beberapa hari di negeri ini.

Mereka terdiri daripada 784 mangsa dari Besut manakala Hulu Terengganu (478) dan Setiu (280) dan Dungun (238).

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu berkata, sehingga pukul 6 petang ini, kesemua mangsa dipindahkan ke 20 pusat pemindahan sementara.

Katanya, kawasan paling teruk dinaiki air ialah di Besut yang melibatkan 784 mangsa daripada 187 keluarga.

Tambahnya, mereka dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Kampung Belauh, Masjid Kampung La, Dewan Orang Ramai Keruak, Surau Kampung Pok Sik dan Sekolah Kebangsaan Bukit Payung, Sekolah Kebangsaan La dan Madrasah Kampung Bukit Mail.

"Di Hulu Terengganu, 478 mangsa melibatkan 105 keluarga dipindahkan ke empat Pusat Khidmat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pelandang, Masjid Kampung Peneh, Masjid Kampung Cheting dan Surau Kampung Baru," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain itu, 34 keluarga melibat 290 mangsa banjir di Setiu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di enam kawasan iaitu di Masjid Kampung Merbau Menyusut, Sungai Tong, Surau Lama Bandar Permaisuri, Balai Raya Kampung Besut, Kampung Padang Ulu Seladang dan Kampung Seladang.

Seramai 238 mangsa melibatkan 58 keluarga di Dungun dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara iaitu di Surau Kampung Besul Lama, Kampung Paya Balai Besar dan Kampung Nyior Paka.

Dalam pada itu, beberapa laluan dan jalan ditutup kepada kenderaan ringan di Besut dan Hulu Terengganu akibat dinaiki air sedalam 0.5 meter (m) hingga satu meter.

Antaranya di Kampung Bukit Payung di Batu 13 yang dinaiki air sedalam 0.5m dan sejauh 500m manakala di Kampung La di Pasir Akar sedalam satu meter dan sejauh 500m serta di Kampung Terubung sedalam 1.3m dan sejauh 200m.

Sementara itu, di Hulu Terengganu tiga jalan turut ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Kilometer (km) 13 dan Km17 Jalan Kuala Berang ke Sungai Tong yang ditenggelami air sedalam satu meter dan sejauh 100m manakala di Km13 Jalan Kuala Berang ke Telemong dinaiki air sedalam satu meter dan sejauh 1.5 meter.

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memberitahu, setakat pukul 6 petang ini, paras air Sungai Besut di Kampung Keruak berada pada 37.19m melebihi tahap bahaya iaitu 35m manakala Kampung La berada pada 22.16 m melebihi tahap bahaya iaitu 19m.

Kata laman web itu, paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap, Kuala Nerus di sini pula mencatatkan paras air 24.16m melebihi paras amaran (21m) manakala Sungai Berang di sungai Menerong pula paras 25.32m melebihi paras amaran 25.30m.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN